PASARAN HARTA TANAH MELAKA REKOD 8,661 TRANSAKSI BERNILAI RM3.1 BILION SETAKAT SEPTEMBER

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 15 September – Laporan Pasaran Harta Separuh Tahun Pertama 2026 dikeluarkan 10 September lalu menunjukkan Wilayah Selatan merekodkan sebanyak 45,956 transaksi harta tanah bernilai RM30.73 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, data menunjukkan subsektor kediaman terus mendominasi sebanyak 29,253 transaksi bernilai RM13.05 dan bagi pasaran primer kediaman pula, sebanyak 9,624 unit pelancaran baharu direkodkan, manakala 13,523 unit kediaman telah siap dibina dengan penawaran baharu dirancang meningkat kepada 10,135 unit.

Katanya, Melaka sendiri merekodkan 8,661 transaksi bernilai RM3.1 bilion dengan subsektor kediaman kekal sebagai penyumbang utama menerusi 5,479 transaksi bernilai RM1.78 bilion.

“Daripada angka-angka ini, jelas bahawa permintaan terhadap kediaman masih ada dan pasaran terus bergerak. Jadi bagi Kerajaan Negeri, tugas kita bukan sekadar membuka lebih banyak projek perumahan, tetapi memastikan rumah yang dibina memang diperlukan, berada di lokasi yang sesuai dan ditawarkan pada harga yang rakyat mampu miliki.

“Dalam sektor harta tanah, kita tidak boleh melihat pasaran hanya daripada berapa banyak unit yang dibina atau berapa tinggi nilai transaksi yang dicatatkan. Sebaliknya, kita perlu membaca dinamik permintaan dan penawaran, kadar serapan pasaran, pergerakan harga, kemampuan pembeli serta risiko lebihan penawaran,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pembekal Data NAPIC Dan Seminar What’s New Property Information System Malaysia 2.0 Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Datuk Sr. Abdul Razak Yusak serta Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Sr. Norhisham Shafie.

Ab Rauf berkata, data dikeluarkan menjadi petunjuk untuk melihat keadaan sebenar pasaran yang mungkin bagus atau berkembang, namun belum tentu ianya adalah seimbang.

“Pembangunan mungkin pesat, tetapi belum tentu semuanya benar-benar diperlukan, sebab itu kita perlu tahu bukan sahaja sejauh mana pasaran berkembang, tetapi ke mana ia sedang bergerak,” katanya.

“Saya merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta NAPIC atas kepercayaan memilih negeri Melaka sebagai tuan rumah bagi penganjuran peringkat Zon Selatan pada kali ini.

“Penghargaan yang sama turut saya zahirkan kepada seluruh pembekal data, agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, pemaju serta pengurus harta yang selama ini memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat pasaran harta tanah negara sentiasa tepat, lengkap dan boleh dipercayai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS GERAN PIDATO, HARGAI KEGIGIHAN SEKOLAH DAN INSTITUSI PENDIDIKAN
Next post PPSPM ‘HIDUPKAN’ PANTAI TANJUNG BIDARA, SEDIA AKTIVITI AIR PERCUMA