
WRUR TANJUNG BIDARA ‘HIDUPKAN’ WARISAN, DONDANG SAYANG TARIK MINAT ANAK MUDA
TANJUNG BIDARA 15 September – Warisan bukan sekadar untuk dikenang, sebaliknya perlu terus dihidupkan dan diperkenalkan kepada generasi baharu supaya kekal menjadi sebahagian daripada identiti serta jati diri masyarakat Melaka.
Mesej itu diterjemahkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara yang turut memberi ruang kepada kira-kira 150 peserta mengenali dan mempelajari seni tradisional menerusi Bengkel Dondang Sayang dan Bengkel Tarian Zapin.
Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, pengisian berkaitan warisan dalam program di peringkat DUN penting bagi memberi pendedahan secara lebih dekat kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Katanya, Dondang Sayang dipilih sebagai antara pengisian kerana ia merupakan kesenian yang cukup sinonim dengan Melaka dan telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO pada 2018.
“Melaka ada identiti kita sendiri. Kalau orang tanya apa identiti Melaka dalam kesenian, Dondang Sayanglah kerana orang lain tidak ada.
“Jadi kita kembali kepada identiti dan jati diri. Itu yang paling penting,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Bengkel Tarian Zapin dan Bengkel Dondang Sayang sempena Program WRUR DUN Tanjung Bidara yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Japerun Tanjung Bidara, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Mohd Nasruddin berkata, menerusi program berkenaan, INSWA mengambil tanggungjawab membawa pengenalan seni warisan ke setiap DUN bagi memastikan masyarakat bukan sekadar mengenali nama sesuatu kesenian, malah memahami nilai dan falsafah yang terkandung di sebaliknya.
“Bila kita maklumkan kepada mereka tentang kepentingan dan falsafah serta apa yang ada di sebalik Dondang Sayang, daripada situ akan timbul minat anak-anak ini.
“Alhamdulillah, setakat ini apabila kita adakan pertandingan Dondang Sayang, penyertaan daripada budak-budak muda, sekolah menengah dan sekolah rendah memang banyak,” katanya.
Menurutnya, pendekatan sama turut dilaksanakan menerusi Program Sekolah Angkat INSWA dengan pihaknya turun ke sekolah untuk mendidik murid mengenai seni dan budaya warisan.
Katanya, pendedahan secara berterusan penting bagi memastikan seni dan budaya tradisional Melaka tidak sekadar menjadi tinggalan sejarah, sebaliknya terus dikenali, dipelajari dan diamalkan generasi baharu.
“Selagi ada INSWA dan Kerajaan Negeri menyediakan sokongan, kita akan menjaganya,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 50 peserta daripada lima sekolah dalam DUN Tanjung Bidara dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) menyertai Bengkel Dondang Sayang, manakala kira-kira 100 peserta mengikuti Bengkel Tarian Zapin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

