WRUR TANJUNG BIDARA: MAJLIS ILMU JADI SANTAPAN ROHANI JEMAAH UJONG PADANG

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola bukan sekadar menyebut nama Baginda, sebaliknya keperibadian dan akhlaknya perlu diterjemahkan menerusi setiap perbuatan dalam kehidupan seharian.

Itu antara pengisian utama ceramah bertajuk ‘Akhlak Rasul Inspirasi Ummah’ yang disampaikan Ustaz Amran Bollywood kepada jemaah Surau Taman Haji Abdullah Samad, Kampung Ujong Padang, di sini, malam tadi.

Menurut Ustaz Amran, akhlak Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang perlu dihidupkan umat Islam dalam membentuk peribadi, keluarga dan kehidupan bermasyarakat.

Katanya, nilai seperti sabar, jujur, penyayang, pemaaf serta menghormati orang lain bukan sekadar sifat terpuji, malah menjadi asas penting dalam membina hubungan sesama manusia.

“Kalau kita benar-benar mahu menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola, ia bukan sekadar dengan menyebut nama Baginda, tetapi perlu diterjemahkan melalui akhlak dan perbuatan kita.

“Mulakan dengan perkara kecil seperti menjaga percakapan, menghormati ibu bapa, menyantuni jiran dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada ceramah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di surau berkenaan.

Majlis ilmu itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang bersama-sama jemaah mengikuti pengisian agama dalam suasana santai dan penuh ukhuwah.

Ceramah berkenaan turut diselang-selikan dengan kisah kehidupan Rasulullah SAW yang sarat dengan teladan, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada jemaah.

Pengisian berkenaan diharap dapat menyemarakkan budaya menghadiri majlis ilmu, selain meningkatkan penghayatan terhadap sunnah dan akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post 10 MUALAF MAIM SEDANG DIUJI TERIMA ZAKAT WAKALAH RM5,000