Alhamdulillah, umat Islam di Melaka boleh solat Aidilfitri di masjid

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Mei. – Umat Islam di negeri ini bersyukur apabila dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau esok dan menyifatkannya sebagai anugerah Allah yang tidak ternilai.

Ini kerana tahun lalu umat Islam di seluruh negara tidak dibenarkan menunaikan solat berkenaan di masjid dan surau berikutan ancaman pandemik COVID-19.

Jamaludin Hamzah, 60, berkata beliau amat teruja apabila membaca laporan berita kenyataan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil mengenai kebenaran itu malam tadi.

Jamaludin Hamzah.

“Alhamdulillah, selepas balik daripada menunaikan solat sunat Tarawih malam tadi, saya membaca laporan berita itu dan terus sujud syukur kerana Allah mengizinkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Saya percaya seluruh umat Islam di negeri ini amat menantikan pengumuman seumpama itu kerana amat merundui suasana solat sunat Aidilfitri pada pagi yang mulia,” katanya ketika ditemui selepas solat Subuh di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini pagi ini.

Alias Ri, 61, berkata kebenaran Jabatan Mufti itu amat menceriakannya dan umat Islam yang lain, terutama mereka yang amat merindui solat sunat Aidilfitri.

Alias Ri.

“Tahun lalu, saya mengimamkan solat itu dan membaca khutbah di rumah tetapi tahun ini saya tidak perlu lagi berbuat demikian kerana sudah boleh solat di masjid,” katanya.

Mohd Aris Rashid, 67, berkata beliau dan anggota keluarganya amat bersyukur dengan keputusan dibuat Jabatan Mufti negeri dan berhajat untuk hadir di masjid awal bagi memastikan mendapat tempat.

“Sudah pasti masjid akan dipenuhi jemaah dan siapa yang terlambat tidak akan dapat tempat kerana bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti masjid,” katanya.

Mohd Aris Rashid.

Abdul Halim dilaporkan berkata, mesyuarat Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semalam memutuskan untuk membenarkan umat Islam menunaikan solat berkenaan.

Bagaimanapun, ia harus mematuhi kapasiti masjid dan surau, selain jemaah diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan tiada berlakunya penularan COVID-19.

Pihak pengurusan masjid tidak dibenarkan memasang khemah di luar masjid bagi menampung jemaah yang dijangka lebih ramai berbanding solat fardu dan solat Jumaat.

Selain itu, warga asing tidak dibenarkan menunaikan solat berkenaan dan jamuan selepas solat juga tidak diizinkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post Saya teruja dengan infaq ‘Ebit Liew’
Next post PKP 3.0: Melaka benarkan solat Aidilfitri dan semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau
Ubah saiz-+=