Saya teruja dengan infaq ‘Ebit Liew’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

LENDU 12 Mei. – Teruja melihat Ustaz Ebit Liew membantu fakir miskin dan gelandangan memberi inspirasi kepada seorang peniaga makanan dari Kampung Pulau Semut, dekat sini, untuk melakukan perkara sama.

Peniaga lontong, Mohd Ridhuan Ahmad, 45, berkata dia bersama ahli keluarga dan rakannya Shahrul Abdul Latif, 38, mengumpulkan dana untuk menyumbangkan bahan makanan dan minuman kepada kepada pusat pengajian agama, pusat tahfiz dan gelandangan di daerah ini dan bandar raya Melaka.

Mohd Ridhuan berkata, walaupun tidak memiliki dana sekukuh Ebit Liew, dia dan isteri serta Shahrul tetap mampu menyediakan dana untuk menyumbangkan bahan makanan dan minuman untuk golongan terbabit.

“Semasa Ramadan 2019 kami memberikan sumbangan kepada gelandangan di bandar raya Melaka dan sejak kisah Ustaz Ebit Liew membantu fakir miskin ditayangkan di televisyen sejak tahun lalu, kami teruja untuk melakukan perkara sama,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada Pondok Baraqotul Qadiri di Kampung Pulau Semut, di sini semalam.

KENANGAN…Mohd Ridhuan bersama-sama Ebit Liew di satu majlis agama di Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

 

Katanya, dia kagum apabila mengenangkan Ebit Liew yang sanggup berkorban wang ringgit, masa dan tenaga semata-mata untuk membantu fakir miskin.

“Kami bukannya peniaga besar seperti beliau tetapi kami tetap ingin berkongsi rezeki dengan golongan kurang mampu.

“Pernah berlaku kami tidak mempunyai wang yang cukup untuk mendapatkan bahan makanan untuk gelandangan yang ramai di bandar raya Melaka dan isteri menggagahkan diri untuk menggoreng cekodok untuk diberikan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Sharul berkata, sumbangan bahan makanan itu diharap dapat meringankan beban anggota komuniti terutama pentadbir pusat tahfiz atau pondok pengajian agama untuk menyediakan makanan pelajar.

“Bersedekah ini tidak perlu tunggu kaya raya, sebaliknya sedekah dengan penuh keikhlasan serta mengharapkan ganjaran berganda sepanjang Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Sedih raya seorang diri, setiap hari ‘tunggu’ Ismail Sabri
Next post Alhamdulillah, umat Islam di Melaka boleh solat Aidilfitri di masjid
Ubah saiz-+=