Air pasang besar, nelayan pindahkan peralatan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Sept. – Fenomena air pasang besar menyebabkan nelayan tidak berlengah untuk memindahkan peralatan menangkap ikan bagi mengelakkan ia hanyut.

Jika sudah terlambat, mereka terpaksa berputih mata menanggung kerugian ribuan ringgit sedangkan jumlah tangkapan semakin berkurangan, selain tidak mampu turun ke laut ketika laut bergelora sekarang.

Tinjauan Melaka Hari Ini ke  Kampung Pantai Rombang, iaitu sebahagian daripada Pantai Puteri yang sepanjang 10 kilometer (km) itu hari ini mendapati nelayan berbuat demikian selepas mengalami perkara yang sama semalam.

Mohd Rahmad Khamis, 36, berkata walaupun fenomena air pasang besar tidak seteruk di Selangor, terutama Kuala Selangor, ia tetap mengancam peralatan menangkap ikan seperti jaring cabok, jaring bawal, jaring pacal dan rawai.

Beliau berkata, air pasang besar mulai jam 10 pagi ini tidak setinggi pagi semalam yang menyebabkan peralatan menangkap ikan sedikit tenggelam.

“Semalam air pasang penuh naik hingga hampir mencecah lantai kedai ikan tetapi hari ini ia tidak sepenuh semalam.

“Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, kami terpaksa memindahkan jaring bagi memastikan kami tidak mengalami kerugian akibat jaring koyak atau dihanyutkan air pasang besar,” katanya.

Mohd Irfan Daniel Ishak, 25, berkata beliau juga terpaksa memindahkan jaring milik bapanya yang diletakkan di pantai berhampiran kedai ikan bapanya bagi mengelakkan kerugian.

“Air pasang besar tidak boleh dijangka naik sampai ke tahap mana kerana ia bergantung pada angin dan arus laut dan lazimnya angin kencang dari barat akan menyebabkan air pasang besar naik hingga hampir mencecah kedai ikan,” katanya.

Bagaimanapun, air pasang besar semalam setakat menenggelamkan jaring, tetapi tidak menyebabkan ia hanyut berbanding paras air pasang besar yang lebih rendah hari ini.

Katanya, lazimnya fenomena berkenaan berlaku pada setiap kali angin barat bertiup kencang dari September hingga Oktober setiap tahun.

Othman Abdul Rahim, 65, berkata fenomena air pasang besar di Pantai Puteri pernah mencapai tahap melimpah hingga ke jalan raya sekitar tahun 1980-an tetapi tidak menyebabkan kerugian besar terhadap nelayan.

“Air pasang besar ketika itu naik hingga ke jalan raya tetapi tidaklah sampai menenggelamkan kedai ikan dan nelayan bernasib baik kerana tidak berlaku ribut barat ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, fenomena berkenaan lazimnya berlaku antara dua hingga tiga hari pada setiap September atau Oktober dan ia adalah sebahagian daripada asam garam hidup yang harus dilalui nelayan.

Views:

330
Kongsi :
Previous post Melaka River Cruise rekod 80,000 pengunjung pada Ogos
Next post Durian Tunggal catat kes dadah tertinggi di Melaka
Ubah saiz-+=