Durian Tunggal catat kes dadah tertinggi di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 21 Sept. – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal mencatat kes dadah tertinggi di Melaka setakat Ogos 2020 dengan merekodkan sebanyak 123 kes pengawasan.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka Nazir Mohamad berkata, lokasi berkenaan merupakan salah satu daripada kawasan berisiko tinggi (KBT) diletakkan di bawah Daerah Alor Gajah, diikuti Kuala Linggi dan Tanjung Bidara yang masing-masing mencatat 114 dan 105 kes.

Jelasnya, Alor Gajah kini mendahului senarai kes penyalahgunaan dan penagihan dadah di Melaka dengan keseluruhan 695 kes, diikuti Melaka Tengah 548 kes dan Jasin, 353 kes.

“Bagi Melaka Tengah, kawasan Paya Rumput merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 70 kes, manakala Bemban dan Serkam memonopoli kes dadah tertinggi di Jasin dengan 84 dan 80 kes setakat Ogos tahun ini,” katanya dalam wawancara khas bersama media di pejabatnya.

Menurutnya, keseluruhan kes di Melaka sepanjang Januari hingga Ogos 2020 ialah sebanyak 1,596 kes yang mana ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun 2019 yang merekodkan 1,409 kes.

Jelasnya, daripada jumlah itu, anggaran 74 peratus daripada orang kena pengawasan (OKP) melibatkan golongan belia berusia 18 hingga 40 tahun.

Nazir berkata, bagi memastikan gejala buruk ini dibendung, pihak AADK Melaka akan mengadakan pemantauan berterusan selain turun padang mendekati golongan sasaran khususnya di 10 mukim berisiko tinggi yang telah dikenalpasti di negeri ini.

“Selain Durian Tunggal dan Kuala Linggi, mukim lain yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi ialah Peringgit, Batu Berendam, Krubong, Pernu, Malim, Tanjung Kling, Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru.

“Kebanyakan kes yang direkodkan ialah membabitkan dadah jenis syabu iaitu sebanyak 798 penagih, heroin sebanyak 686 penagih dan selebihnya membabitkan ganja dan lain-lain,” katanya.

Views:

977
Kongsi :
Previous post Air pasang besar, nelayan pindahkan peralatan
Next post Festival Layang-layang tetap meriah walaupun PKPP
Ubah saiz-+=