Festival Layang-layang tetap meriah walaupun PKPP

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 21 Sept – Meskipun dalam suasana norma baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), penganjuran Festival Layang-layang negeri ini tetap meriah sepertimana penganjurannya sejak 12 tahun dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, walaupun penyertaan itu tidak disertai oleh peserta dari luar negara namun penganjurannya tetap meriah dan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, program yang memasuki edisi ke-13 itu adalah antara usaha kerajaan negeri untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini selain mempromosi permainan tradisional itu.

“Anjuran festival oleh Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dengan kerjasama Persatuan Layang-layang negeri Melaka mengikut SOP di mana penyertaan terdiri daripada 50 peserta dari negeri domestik seperti Terengganu, Kelantan dan Johor.

“Usaha ini sangat baik dan BPP sedang merancang untuk menjadikan Melaka hab layang-layang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Layang-layang Hari Malaysia 2020 di Pulau Melaka.

Dalam pada itu, pelancong warga Colombia yang terkandas di negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Omar Alexender Avila, 29, berkata dia ternampak layang-layang gergasi itu berlegar di udara dari cermin hotel di menginap tidak jauh dari lokasi festival berkenaan.

“Ini aktiviti pertama saya bersama isteri serta anak-anak yang disertai sejak PKP dan kami sangat teruja kerana dapat menyaksikan layang-layang gergasi itu,” katanya.

Bagi peserta dari Kuala Lumpur, Danny Lau, 55 berkata ini festival pertama disertai sejak PKP dan dia berasa sangat lega kerana sudah boleh keluar rumah untuk melakukan aktiviti yang digemari.

Katanya, sepanjang PKP sehingga PKPP, dia hanya menyertai aktiviti membabitkan layang-layang menerusi acara ‘virtual kites’ iaitu menghantar video layang-layang kepada penganjur festival layang-layang peringkat antarabangsa.

“Minat yang mendalam dalam menghasilkan layang-layang membuatkan saya tidak kisah mengeluarkan belanja yang tinggi termasuk mengeluarkan kos antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk rekaan layang-layang,” katanya.

Bagi Chan Weng Liang, 48, dia yang menyertai bersama sembilan rakan kumpulan yang diberi nama Impian sangat berbesar apabila festival itu dianjurkan mengikut SOP ditetapkan.

“Hendak menaikkan layang-layang gergasi, kawasan sekitar perlu dikosongkan tanpa kehadiran orang ramai kerana dibimbangi akan terjadi perkara tidak diingini sebagaimana kes kanak-kanak yang terbang bersama layang-layang di Taiwan baru-baru ini,” katanya.

Views:

1574
Kongsi :
Previous post Durian Tunggal catat kes dadah tertinggi di Melaka
Next post MHI-KUIM bincang jalin kerjasama strategik
Ubah saiz-+=