
AKCC, PPSPM METERAI MOU PERKUKUH PROMOSI SILANG PELANCONGAN
BANDARAYA MELAKA 27 Ogos – Sebagai usaha memperkukuhkan sektor pelancongan negeri, Ayer Keroh Country Club (AKCC) bersama Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa sektor pelancongan negeri.
Pengerusi AKCC Datuk Rahmad Mariman berkata, menerusi jalinan kerjasama strategik itu kedua-dua pihak akan bekerjasama mempromosikan produk masing-masing dengan pendekatan promosi silang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Menerusi MoU antara AKCC dan PPSPM ia akan menjalinkan satu kerjasama lebih erat dalam sektor pelancongan khususnya. Seperti sedia maklum, PPSPM merupakan ikon pelancongan terkemuka dan mempunyai jumlah pengunjung yang ramai.
“Manakala AKCC pula tempat riadah untuk aktiviti sukan, di mana kedua-dua tempat ini menerima kedatangan pengunjung bukan sahaja dari dalam dan luar Melaka tetapi juga luar negara.
“Justeru itu, menerusi MoU ini kita akan bekerjasama mempromosikan antara satu sama lain dan hasilnya akan membawa manfaat untuk kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menandatangani MoU bersama PPSPM yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaharul Azuar Idris, di Dataran Pengkalan Ramai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar AKCC Syed Mahadzir Syed Yassin dan Ahli Lembaga Pengarah PPSPM, Mohd Fasarul Md Isa.
Menurut Rahmad, inisiatif itu mampu membuka ruang baharu kepada kedua-dua pihak dalam memperluaskan capaian promosi dan seterusnya menjadikan Melaka destinasi pelancongan yang lebih berdaya saing.
“Dengan promosi yang dijalankan secara bersama, pengunjung berpeluang untuk menikmati kunjungan ke kedua-dua tempat dan hasilnya bukan sahaja menguntungkan AKCC dan PPSPM malah turut menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.