Akibat langgar lampu isyarat merah

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 13 April – Tiga pelajar sekolah antara empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Persimpangan Lampu Isyarat Taman Kerjasama Bukit Beruang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 ditunggang dua beradik berusia 17 dan 15 tahun sedang menghala ke arah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dari arah Bukit Beruang.

Menurutnya, ketika sampai di persimpangan itu, motosikal berkenaan telah melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang lelaki berusia 55 tahun dan murid Darjah Enam yang datang dari arah Taman Kerjasama.

“Akibat rempuhan itu, semua mangsa telah mengalami kecederaan selepas tercampak di atas jalan raya dan dibawa ke Hospital Melaka.

“Bagaimanapun tiada kecederaan parah melibatkan kesemua mangsa dilaporkan pihak hospital,” katanya.

Christopher berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, video kemalangan itu tular di media sosial selepas dikongsi pelayar Facebook.

Video berdurasi 40 saat itu menunjukkan motosikal ditunggang dua individu memecut laju di persimpangan lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah lagi motosikal mengakibatkan salah seorang daripada mangsa tercampak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

42431
Kongsi :
Previous post 100 pelajar Politeknik Merlimau terima manfaat program MySaveFood – KPDN
Next post Rogol anak tiri: Pengajar kelas renang akan didakwa esok, berdepan 32 pertuduhan
Ubah saiz-+=