100 pelajar Politeknik Merlimau terima manfaat program MySaveFood – KPDN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 13 April – Seramai 100 pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menerima manfaat daripada Program MySaveFood yang diperkenal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menerusi program itu, sebanyak 300 pek makanan yang menggunakan teknologi retort atau penstrilan hasil sumbangan KPDN dan Hotel Le Meridean Putrajaya telah disumbangkan kepada pelajar.

Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh pada majlis yang diadakan di politeknik itu, semalam.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri dan Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Pada majlis itu, pelajar PMM turut menerima sumbangan berupa makanan kering dan air mineral melalui Foodbank Gerakan Pengguna Siswa.

KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan program MySaveFood bertujuan mengelakkan pembaziran di bazar Ramadan dan inisiatif dengan kerjasama MARDI itu akan diperluas di seluruh Malaysia.

Difahamkan, kerja-kerja pengumpulan makanan termasuk proses mengasing dan menimbang untuk tujuan rekod akan dilaksanakan selepas waktu berbuka puasa oleh pihak Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).

Makanan tersebut kemudian akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan termasuk asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.

Turut dimaklumkan, Sehingga 12 April 2023, sejumlah 19.84 tan makanan dapat diselamatkan daripada pembaziran melalui keterlibatan 1,227 orang sukarelawan dalam menjayakan program MySaveFood di 43 Bazar Ramadan terpilih seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1525
Kongsi :
Previous post Kongsi keceriaan Aidilfitri bersama golongan memerlukan
Next post Akibat langgar lampu isyarat merah
Ubah saiz-+=