Kongsi keceriaan Aidilfitri bersama golongan memerlukan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 13 April – Kegembiraan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi dikongsi bersama 70 golongan memerlukan pada Majlis Iftar dan Sumbangan Aidilfitri di sini, malam tadi.

Penyelaras Pusat Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Zaidi Omar berkata, program itu merupakan anjuran bersama GLAM Bazar Aidilfitri Klebang dan Koperasi Pengusaha Pekerja Malaysia Berhad.

Katanya, seramai enam pihak telah terlibat menghulurkan sumbangan berupa duit raya, kit makanan dan pembelian barangan keperluan Aidilfitri kepada mereka yang terpilih.

“Bezanya tahun ini kita ubah program kepada majlis berbuka puasa berbanding sebelum ini kita adakan ziarah kasih rumah ke rumah menyantuni asnaf-asnaf ini terutama yang tidak menerima bantuan Zakat.

“Tahun ini kita himpunkan mereka terus di sini dengan kerjasama ramai pihak termasuk peniaga-peniaga bazar yang sudi menyumbang seterusnya mengimarahkan program sebegini.

“Kalau digabungkan dengan kesemua enam penyumbang program ini, keseluruhan lebih RM10,000 dibelanjakan demi menceriakan mereka yang berkobar-kobar menantikan Syawal nanti,” katanya selepas selepas majlis berkenaan di Pusat Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM, malam tadi.

Pada program sama, GLAM Bazar Aidilfitri Klebang sempat menyantuni dan membawa anak-anak yatim dan asnaf daripada pusat itu mendapatkan keperluan hari raya.

Penganjur GLAM Bazar Aidilfitri Klebang Abdul Rashid Omar, 40, berkata, sumbangan itu merupakan hasil kutipan bersama peniaga dan penganjur bazar berkenaan.

“Ini adalah kali pertama dan kalau diberi kepercayaan saya berharap usaha ini akan diteruskan pada tahun hadapan kerana kita faham dengan keadaan ekonomi sekarang, ramai terkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3742
Kongsi :
Previous post Kadet koreksional diperluas di sekolah-sekolah Melaka
Next post 100 pelajar Politeknik Merlimau terima manfaat program MySaveFood – KPDN
Ubah saiz-+=