Kadet koreksional diperluas di sekolah-sekolah Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PANTAI KUNDOR 13 April – Jabatan Penjara Malaysia Negeri Melaka bercadang untuk menambah penglibatan sekolah yang menerima latihan kadet koreksional dalam negeri itu.

Komandan Institut Koreksional Malaysia, Penolong komisioner penjara (PKP), Mohd Zaidi Alias berkata, setakat ini pihaknya sudah melatih hampir 500 pelajar melibatkan enam buah sekolah menengah di Melaka.

Katanya, penambahan sekolah itu masih di peringkat cadangan dan akan dilaksanakan selepas menerima kata putus pada peringkat atasan.

“Setakat ini, enam sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, SMK Seri Tanjung, SMK Seri Kota, SMK Telok Mas, SMK Ayer Keroh dan SMK Kem Terendak.

“Memang jabatan sentiasa berusaha untuk menambah bilangan sekolah sebagaimana jika dilihat seperti kadet polis dan kadet bomba, mereka ini sudah jauh ke depan.

“Bagaimanapun, kita berusaha ke arah itu juga dan pertambahan sekolah yang mana ia masih dalam proses perundingan bersama Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Bubur Lambuk Institut Koreksional Malaysia di Tanjung Kling, di sini, semalam.

Majlis itu turut disempurnakan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, setakat ini SMK Seri Tanjung merupakan sekolah anak angkat Institut Koreksional Malaysia.

“Seramai 79 pelajar di sekolah tersebut yang menyertai kadet koreksional di sekolah terbabit.

“Namun sekolah angkat ini akan bertambah bilangannya seiring dengan penambahan (sekiranya diluluskan) penglibatan sekolah-sekolah lain dan kita sasarkan untuk ada wakil sekolah di setiap tiga daerah dalam Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1585
Kongsi :
Previous post Pekerja kilang maut tercampak 20 meter
Next post Kongsi keceriaan Aidilfitri bersama golongan memerlukan
Ubah saiz-+=