‘Alhamdulilah harga ayam dah turun’

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

BACHANG 21 April – Campur tangan segera kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menetapkan harga siling ayam, RM7.90 sekilogram menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 nyata melegakan penguna termasuk di negeri ini.

Orang ramai yang ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Pasar Besar Awam Melaka gembira dengan inisiatif itu yang disifatkan prihatin rakyat yang berdepan kenaikan mendadak harga ayam sejak awal Ramadan lalu.

Norsiah Deraman, 59, berkata tindakan SHMMP 2021 yang berkuat kuasa selama sebulan mulai hari ini dapat membantu pengguna berbelanja dengan berhemah bagi membeli barangan basah termasuk ayam, ikan dan sayur untuk keperluan sepanjang Ramadan mahupun Aidilfitri.

NORSIAH

“Alhamdulillah memang lega harga ayam dah turun hari ini berbanding beberapa hari lepas harganya RM9.80 sekilogram.

“Jadi bolehlah kita yang tak bekerja ni beli lebih daripada seekor ayam untuk bekalan bulan puasa dan raya nanti.

“Sebelum ini saya beli seekor ayam berharga RM18, namun hari ini hanya RM14. Sebagai pembeli saya lega harga ayam turun, kalau cecah RM9 lebih tinggi sangat,” katanya.

Dia berkata, lazimnya untuk hari raya dia akan membeli dua ekor ayam, dua kilogram daging untuk juadah keluarga.

“Tapi tahun ini memang tak banyak sebab (mungkin) anak tidak dapat balik beraya.

“Kalau boleh hampir nak raya biarlah harga ayam turun lagi dalam RM7 sekilogram atau daging lembu RM28 ke RM30 sekilogram sebab sekarang ni RM34 sekilogram agak mahal,” katanya.

ANITA.

Bagi Anita Kamariah,38, dia berpuas hati apabila harga ayam standard untuk sekilogram ditetapkan RM7.90.

“Sebagai pembeli sudah tentu saya berpuas hati jika dibanding dengan harga sebelum ni seekor ayam sampai RM19.

“Tapi kali ni untuk dua kilogram ayam hanya RM18, kalau kita nak borong memang rasa puas hati lah, sebab tu saya beli terus dua ekor hari ini,” katanya yang berasal dari Batu Berendam.

Sementara itu, peniaga ayam Ghazali Abu Bakar berkata, dia akur dengan keputusan kerajaan berkaitan skim kawalan harga barangan termasuk ayam.

GHAZALI.

“Kita kena akur dan ikut apa harga yang kerajaan tetapkan. Cuma biasanya harga kawalan musim raya ni lagi seminggu nak raya baru ditetapkan, tapi ni terlalu awal.

“Sambutan pelanggan macam biasa… sekarang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

“Kita faham kalau yang ada kerja tu sentiasa la ade duit (untuk berbelanja), yang tiada kerja tetap makan gaji kurang lah sikit duit,” katanya yang berniaga hampir 30 tahun.

Peniaga daging Azahari Abu Bakar, 60, dari Bukit Piatu bersyukur harga daging lembu tempatan ditetapkan pada kadar RM34 di bawah SHMMP 2021.

AZAHARI beryukur dapat keuntungan berikutan permintaan bertambah terhadap daging lembu tempatan ketika Ramadan.

“Alhamdulilah tiada masalah cuma mungkin (ada rungutan) pengguna kerana harga sebelum ni RM28 ke RM30 sekilogram, sekarang RM34 jadi untuk peniaga ada sedikit keuntungan.

“Biasanya hampir hari raya jualan daging lembu tempatan meningkat dua kali ganda daripada hari biasa 100 kilogram sehari,” katanya.

Sebelum ini KPDNHEP mengumumkan 12 jenis barangan di bawah SHMMP 2021 bermula hari ini hingga 20 Mei bertujuan menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Antara barangan itu termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1092
Kongsi :
Previous post Kaedah ‘tapau’, elak lambakan sisa plastik di bazar Ramadan
Next post Ames Hotel saji 180 juadah berbuka puasa
Ubah saiz-+=