Kaedah ‘tapau’, elak lambakan sisa plastik di bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 21 April. – Amalan membawa bekas makanan dan minuman serta beg yang boleh diguna semula perlu dibudayakan pengunjung setiap kali pergi pasar Ramadan di negeri ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, jika diamalkan ia diyakini dapat mengurangkan penggunaan plastik di pasar Ramadan.

Katanya, kebanyakan makanan dan minuman yang dijual di pasar Ramadan menggunakan plastik bagi tujuan membungkus makanan sekali gus menyumbang kepada peningkatan sisa plastik ketika Ramadan.

KAEDAH tapau mampu kurangkan penggunaan dan sisa plastik di pasar Ramadan.

“Peningkatan sisa plastik dikhuatiri akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan dan kini masanya untuk kita mewujudkan budaya baharu iaitu dengan ‘tapau’ juadah yang dibeli di pasar Ramadan.

“Jika antara kita yang memulakan budaya ‘tapau’ makanan dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat serta beg kitar semula tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehiduoan seharian kita.

“Perkara ini mampu mengurangkan kadar penggunaan plastik sekali gus makanan yang ditapau dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Dengan membawa bekas makanan dan minuman sendiri dengan beg kitar semula juga mampu menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula) yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, berdasarkan tahun-tahun kebelakangan ini seperti dijangkakan kadar sisa makanan akan meningkat sebanyak 20 peratus menjelang bulan Ramadan.

Menurutnya pihaknya menyeru orang ramai lebih menghargai makanan yang dibeli dan perlu mengikut keperluan.

“Jika ada lebihan tidak perlu dibuang sebaliknya dihulurkan kepada pihak yang memerlukan.

“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil, namun ia mampu memberi impak besar dalam jangka masa panjang terutama menyelamatkan alam sekitar daripada sisa plastik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post 462,335 individu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19
Next post ‘Alhamdulilah harga ayam dah turun’
Ubah saiz-+=