‘Alhamdulillah, kerajaan negeri sudi membantu’

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat
YUSOF telah mengeluarkan kos RM10,000 bagi meletakkan bongkah batu di kawasan chaletnya yang mengalami hakisan di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak. Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 11 Ogos – “Alhamdulillah, kerajaan negeri tidak mengambil masa terlalu lama untuk mengatasi masalah hakisan pantai dan menyelamatkan 30 unit chalet saya.

“Tanpa komitmen kerajaan negeri, sukar untuk saya menghadapi ancaman hakisan pantai yang semakin serius sejak pertengahan Mei lalu,” kata pengusaha chalet, Yusof Yaacob, 63.

Selepas tiga bulan dibelenggu kebimbangan akibat hakisan pantai mengancam penginapannya, hari ini beliau sudah boleh menarik nafas lega selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berjanji membina tembok penahan ombak.

Yusof berkata, komitmen JPS untuk membina tembok berkenaan atau ‘rock revetment’ di kawasan sepanjang kira-kira 100 meter amat melegakannya kerana ia memberi harapan untuk beliau meneruskan operasi perniagaan.

“Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peruntukan RM500,000 kepada JPS untuk membina tembok berkenaan.

“Sejak hakisan pantai bermula pertengahan Mei lalu dan merosakkan lima pondok wakaf, saya sentiasa dibelenggu kebimbangan, terutama apabila runtuhan pasir pantai sudah menghampiri bangunan chalet bulan lalu,” katanya ketika ditemui di pantai Sungai Kertah, Pengkalan Balak, hari ini.

Yusof berkata, setakat ini beliau sudah mengeluarkan kos RM10,000 bagi meletakkan bongkah batu di kawasan terjejas akibat hakisan tetapi, ia tidak sekukuh tembok yang bakal dibina JPS.

Sehubungan itu, beliau meminta JPS supaya tidak berlengah lagi untuk menjalankan kerja pembinaan tembok berkenaan bagi membantu memastikan kelestarian pantai itu yang menjadi tumpuan pelancong, terutama pada hujung minggu.

Sementara itu, Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, jabatan itu sudah membuka tawaran sebut harga kerja membina tembok berkenaan selama seminggu mulai Jumaat lalu dan kerja pembinaan dijangka dimulakan tidak lama lagi.

“Tiada benteng pemecah ombak yang bakal dibina, sebaliknya kerja mengatasi hakisan itu hanya membabitkan pembinaan ‘rock revetment,’ iaitu kerja menyusun bongkah batu menjadi tembok penahan ombak di kawasan yang terjejas.

“Kami menjangka kerja berkenaan mampu mengelakkan hakisan bertambah teruk, sekali gus menyelamatkan pantai itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, peruntukan RM500,000 disediakan jabatan itu bagi menjalankan kerja mengatasi hakisan berkenaan dan ia tidak termasuk peruntukan bagi mengatasi masalah yang sama di perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini.

Katanya, JPS sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja mengatasi hakisan pantai yang mengancam kira-kira 100 nelayan di kampung itu.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan hakisan pantai di kedua-dua lokasi berkenaan yang masing-masing mengancam struktur chalet milik pelabur Bumiputera dan pangkalan nelayan.

Pada Disember lalu, JPS membina tembok yang sama bagi mengatasi hakisan pantai yang mengancam penduduk Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.

Views:

278
Kongsi :
Previous post Suasana sekolah terkawal
Next post Ribut kuat, MPHTJ giat usaha tebang pokok tumbang
Ubah saiz-+=