Allahyarham Tun Salleh Abas tegas dalam pentadbiran, prihatin aduan rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA TERENGGANU, 16 Jan. – Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas sentiasa tegas dalam setiap urusan terutama dalam mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri yang terlibat dalam salah laku dan tidak amanah sehingga ada yang ‘kecut perut’, sekiranya mereka ada melakukan kesalahan.

Perkara tersebut dikongsikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali, 63, ketika dihubungi Bernama di sini hari ini, bagi mengenang jasa bekas Ketua Hakim Negara itu sepanjang berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Mohamed Salleh, 91, yang meninggal dunia kira-kira jam 3.20 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini akibat pneumonia merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas ketika PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Yahaya berkata, peranan Allahyarham sangat penting untuk menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri ketika itu.

“Allahyarham sangat tegas, semua aduan rakyat berkaitan perkhidmatan kerajaan negeri diberi perhatian serius. Mana-mana pegawai kerajaan yang dipanggil oleh Allahyarham pasti ‘kecut perut’ sekiranya terdapat salah laku.

“Oleh itu, pentadbiran negeri dapat berjalan dengan begitu telus kerana semua pihak terutama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri faham apa akibatnya jika bertugas sambil lewa atau tidak amanah,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, 64, berkata PAS mengambil masa yang agak lama untuk memujuk Allahyarham bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh pada Pilihan Raya Umum 1999.

“Namun, kita katakan khidmatnya diperlukan kerana pengalaman yang sangat luas dalam bidang perundangan dan ia boleh dimanfaatkan dalam pentadbiran negeri. Akhirnya, Allahyarham bersetuju untuk bertanding dan menang dalam pilihan raya itu.

“Sepanjang saya berkhidmat dalam barisan Exco bersama Allahyarham ketika itu, beliau bagaikan ayah dan banyak menasihatkan kami agar menjalankan tugas sebagai ‘wakil rakyat muda’ yang jujur dan amanah,” katanya.

Mohd Abdul Wahid berkata, walaupun pernah berdepan ujian getir dipecat sebagai Ketua Hakim Negara, Allahyarham tidak pernah berkeluh kesah mengenai perkara itu malah sentiasa merendah hati dan tidak kekok bergaul bersama orang kampung.

“Pernah sekali, ketika berada di pentas ceramah di Rusila, Marang saya terlihat beliau sedang khusyuk mendengar ceramah dan hanya duduk di atas pasir dengan beralaskan surat khabar bersama orang ramai. Saya maklumkan perkara itu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya turun ke bawah dan mempelawa beliau untuk naik ke pentas seperti mana permintaan Abdul Hadi, namun beliau menolak lembut dengan alasan beliau datang untuk mendengar ceramah, kalau naik ke pentas nanti kena beri ceramah,” kata Mohd Abdul yang sentiasa berhubung dengan Allahyarham walaupun selepas Allahyarham tidak lagi bergiat aktif dalam bidang politik. – BERNAMA

Views:

284
Kongsi :
Previous post Jenazah Tun Salleh Abas selamat dikebumikan
Next post Muhyiddin sanjung jasa Tun Salleh Abas perkasa institusi kehakiman negara
Ubah saiz-+=