
AKSI TEMPUR, LOMPAT API GEGARKAN SAMBUTAN MERDEKA MELAKA
SUNGAI UDANG 22 Ogos – Aksi lompatan merentasi api dan pemusnahan papan menjadi antara elemen baharu yang bakal dipersembahkan 64 anggota Divisyen Ketiga Infantri Malaysia menerusi demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka pada 31 Ogos ini.
Persembahan yang bakal berlangsung di Dataran 1 Malaysia, Klebang itu dijangka tampil lebih tangkas dan agresif berbanding persembahan tahun lalu, sekali gus menjadi antara tarikan pada acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Pegawai Memerintah 3 Rejimen Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Leftenan Kolonel Nizar Azmir Abdul Malek berkata, persembahan tahun ini menampilkan konsep berbeza dengan lebih banyak aksi tempur, namun masih mengekalkan elemen ketenteraan.
“Jika dibandingkan dengan tahun lepas, kita ada aksi bersilat. Tetapi kali ini, kita akan pamerkan aksi-aksi yang lebih agresif,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas raptai persembahan TTS sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Kem Terendak, di sini.
Hadir sama Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ezlina Elias.
Sementara itu, Pegawai Koordinasi TTS 3 Rejimen KPTD, Kapten Norshila Ramli berkata, persembahan tahun ini bertemakan cergas dan tangkas selaras dengan konsep yang ditetapkan Kerajaan Negeri.
Katanya, elemen tempur turut diperkasakan menerusi aksi menangkis serangan menggunakan senjata selain beberapa aksi baharu yang belum dipersembahkan pada sambutan tahun lalu.
“Tema yang ditetapkan adalah cergas dan tangkas, jadi kita masukkan elemen tempur menggunakan senjata, termasuk bagaimana anggota menangkis serangan sekiranya musuh menggunakan senjata,” katanya.
Menurut Norshila, persiapan anggota kini memasuki minggu kedua dengan latihan intensif dijalankan setiap hari termasuk pada waktu malam bagi memastikan setiap pergerakan dan aksi dapat dipersembahkan dengan kemas serta selamat.
Katanya, aspek keselamatan dan kesihatan anggota turut diberi keutamaan sepanjang latihan, terutama bagi aksi berintensiti tinggi yang memerlukan tahap kecergasan dan ketangkasan fizikal.
“Kita mahu persembahan ini bukan sahaja menarik perhatian penonton, tetapi dapat menunjukkan tahap disiplin, kecergasan dan ketangkasan anggota Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

