
UMIS@UNIMEL: TRANSFORMASI UNIVERSITI DIGITAL, LESTARI
KUALA LINGGI 22 Ogos – Pelaksanaan UMIS@UNIMEL (University Management Information System) bakal menjadikan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi digital, bertunjangkan kepada teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Naib Canselor Pembangunan Institusi UNIMEL Prof Ts. Dr. Rohayati Mohd Isa berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan agenda ‘UNIMEL Smart Green Campus: Building a Digital, Data-Driven and Sustainable Universiti.
Katanya, inisiatif sedang dilaksanakan itu dijadualkan lengkap sepenuhnya pada awal 2028, sekali gus memacu UNIMEL sebagai sebuah universiti berdaya saing di negara ini.
“Perancangan ini adalah satu bentuk usaha yang amat perlu bagi meningkatkan lagi tahap ‘visibility’ UNIMEL. Kita perlu berubah kearah teknologi digital yang akan menjadi satu keutamaan pada masa hadapan.
“Apabila dilaksanakan kelak UNIMEL akan lebih berkemampuan untuk menawarkan lebih banyak kursus menerusi ‘Open and Distance Learning’ (ODL). Ini adalah berdasarkan permintaan, ramai yang berminat mengikuti kursus pengajian di UNIMEL menerusi platform ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya lagi, transformasi yang dilaksanakan juga adalah untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan UNIMEL sebagai sebuah gerbang pendidikan serantau.
“Perancangan ini dijangka mengambil masa selama 18 bulan, insya-Allah apabila siap warga kampus dan kakitangan UNIMEL akan merasai perubahan baharu dalam semua perkara seperti akademik dan pengurusan.
“Apabila semuanya sudah didigitalkan kita juga dapat mengurangkan penggunaan kertas atau ‘paperless’ yang turut membantu daripada aspek penjimatan perbelanjaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

