Ambil vaksin, beringat dan jaga SOP -PIBG
AYER KEROH 4 Feb – Pencegahan bermula daripada rumah dengan ibu bapa memantau tahap kesihatan anak antara langkah terbaik dalam membendung dan memutuskan rantaian COVID-19.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh, Mat Noor Md Zin berkata, dalam suasana semasa peranan ibu bapa atau penjaga amat diharapkan.
“Saya pun ada anak masih bersekolah dan saya sendiri bimbang. Prosedur operasi standard (SOP) di sekolah sudah menjadi rutin dan mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ada juga ibu bapa yang hubungi kami untuk minta nasihat dan pandangan mengenai perkara ini, jadi kami bantu.
“Perkara paling penting ikut SOP, jika anak sihat lebih baik hantar saja ke sekolah….Kalau fikirkan keselamatan saya sendiri takut nak hantar anak ke sekolah, tapi kita kena beringat dan jaga SOP,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu Yang Dipertua PIBG SK Durian Tunggal Azahar Abu Bakar turut meluahkan nada yang sama supaya ibu bapa terus memainkan perana penting dengan memantau kesihatan anak-anak sebelum ke sekolah.
“Jangkitan ini bukan kata daripada anak-anak sahaja ada disebabkan ibu bapa juga….Kalau ibu bapa ambil tindakan semua perkara ini tidak terjadi di sekolah.
“Peranan utama ibu bapa kena pantau daripada rumah, kita tidak boleh serahkan pada pihak sekolah saja…pihak sekolah berapa jam saja dengan anak-anak mereka yang lebihnya bersama ibu bapa,” katanya.
Katanya, murid digalakkan untuk mengambil vaksin meskipun keputusan akhir bagi tujuan itu bergantung kepada ibu bapa masing-masing.
Azahar berkata, ibu bapa perlu menanggung risiko jika anak mereka yang belum divaksin dijangkiti COVID-19.
“Kalau ibu bapa tak nak ambil vaksin risiko kena tanggung sendiri, sekarang ini pun kalau nak pergi sekolah ada dua pilihan sama ada Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) atau bersemuka.
“Bila anak dah vaksin kita punya ketahanan diri, kalau tak nak vaksin dengar cakap orang semua akan jadi lebih susah, ibu bapa pun kena ambil tindakan yang sewajarnya cegah semua ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.