PMM catat sejarah raikan 2,936 graduan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MERLIMAU 4 Feb – Politeknik Merlimau (PMM) bakal meraikan seramai 2,936 pelajarnya yang menamatkan pengajian selama tiga tahun di institusi itu pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Ke-19 bermula Ahad ini.

Pengarahnya Mohd Hatta Zainal berkata konvokesyen di Dewan Platinum PMM itu berlangsung selama lima hari dari 6 Feb sehingga 10 Feb membabitkan graduan sesi Dis 2018, Jun 2019, Dis 2019 dan Jun 2020.

Beliau berkata, instiadat konvokesyen kali ini dianggap istimewa dan mencatat sejarah kerana membabitkan graduan dalam jumlah yang ramai.

“Pada kebiasaannya instiadat membabitkan sekitar 1,500 graduan saja. Kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021, maka PMM raikan kesemua graduan bagi dua tahun tersebut dalam satu majlis.

“Lebih istimewa lagi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam akan hadir menyempurnakan sidang pertama pada Ahad ini,” katanya.

Menurutnya, konvokesyen kali mencatat pecahan sidang paling banyak iaitu 11 sidang dengan kehadiran para penyampai skrol seperti Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi) Ts Zainab Ahmad (Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti) dan beberapa tetamu kehormat lain.

Untuk rekod, PMM merupakan Politeknik yang ke-14 ditubuhkan daripada 36 Politeknik di seluruh negara dan sehingga kini telah melahirkan sejumlah 26,725 graduan sehingga tahun 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1556
Kongsi :
Previous post PLUS saran orang ramai masuk lebuh raya sebelum 9 pagi
Next post Ambil vaksin, beringat dan jaga SOP -PIBG
Ubah saiz-+=