PLUS saran orang ramai masuk lebuh raya sebelum 9 pagi

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Feb – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pelanggan dari utara dan selatan yang ingin kembali ke Lembah Klang pada 4 hingga 6 Feb ini supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

Menurut PLUS dalam kenyataan hari ini, jumlah trafik meningkat pada bari kedua sambutan Tahun Baharu Cina (2Feb) apabila Lebuhraya Utara-Selatan menyaksikan lonjakan trafik dari semua negeri dan ia dijangka berulang pada 5 dan 6 Feb (Sabtu dan Ahad) berikutan orang ramai yang mengambil cuti tambahan sempena cuti sekolah akan memulakan perjalanan kembali ke Lembah Klang.

“Kami menggesa orang ramai supaya merancang perjalanan pulang yang selamat dengan merujuk kepada TTA dikeluarkan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Bagi pengguna yang dalam perjalanan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan negeri-negeri lain dinasihatkan melakukan perjalanan sebelum 9 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan untuk pulang ke Lembah Klang.

PLUS membuat persediaan rapi untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa dengan menyediakan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya.

PLUS juga bekerjasama dengan Polis Trafik (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya, menempatkan pasukan RELA untuk pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat serta menyediakan maklumat trafik melalui pelbagai saluran komunikasi PLUS.

“Pastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) anda mencukupi untuk menikmati perjalanan yang selesa di plaza tol dan sentiasa mematuhi SOP pencegahan COVID-19 di R&R serta hentian sebelah,” katanya.

Dapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini melalui platfom media sosial PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman web www.plus.com.my atau menerusi Aplikasi PLUS untuk membantu anda merancang perjalanan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1228
Kongsi :
Previous post Wartawan mainkan perasaan Dek Wan – Jaganathan
Next post PMM catat sejarah raikan 2,936 graduan
Ubah saiz-+=