Sorting by

×

AMMTC KE-19 SAHKAN PELAN TINDAKAN PERANGI JENAYAH TRANSNASIONAL 2026-2035, PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

MELAKA, 10 Sept –  Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 hari ini mengesahkan Pelan Tindakan ASEAN dalam Memerangi Jenayah Transnasional 2026-2035 sebagai panduan untuk mendepani cabaran jenayah rentas sempadan sepanjang dekad mendatang.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pengesahan itu menandakan komitmen kolektif ASEAN untuk bergerak seiring dengan landskap ancaman yang semakin kompleks seterusnya memperkukuh kerjasama serantau.

Selain itu, mesyuarat turut menerima pakai Kumpulan Kerja Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) mengenai pengubahan wang haram sebagai wadah baharu memperkukuh usaha serantau menangani jenayah kewangan.

“Tidak kurang penting, Pelan Hala Tuju Kerjasama Pengurusan Sempadan ASEAN yang turut diluluskan bagi memperkemas kerjasama rentas sektor dalam urusan imigresen dan kawalan sempadan.

“Beberapa deklarasi penting turut diumumkan termasuk Deklarasi Melaka dalam Memerangi Jenayah Transnasional serta Deklarasi ASEAN menangani Penyeludupan Manusia, Jenayah Siber dan Penipuan Dalam Talian,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, AMMTC ke-19 turut memperakukan tiga Deklarasi Pemimpin ASEAN yang menekankan usaha membanteras pengubahan wang haram, kerjasama penangkapan penjenayah buruan dan inisiatif penggunaan sukan sebagai alat untuk membina ketahanan masyarakat terhadap ekstremisme ganas.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk melanjutkan Pelan Tindakan ASEAN bagi Mencegah dan Menangani Peningkatan Radikalisasi dan Ekstremisme Ganas (2018-2025) dan Bali Work Plan (2019–2025) hingga tahun 2026.

“Kedua-dua dokumen ini merupakan kerangka penting bagi usaha serantau bagi mencegah radikalisasi serta menyelaras tindakan rentas sektor dan rentas sempadan untuk menangani ancaman ekstremisme ganas di rantau ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat kali ini juga telah mendengar perkongsian daripada Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC); Perhimpunan Antara Ahli Parlimen ASEAN (AIPA) dan META yang membentangkan pandangan serta perkongsian berhubung cabaran dan peluang kerjasama bagi memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk aspek perundangan, kerjasama serantau dan cabaran teknologi digital.

Menurut kenyataan itu, dengan pencapaian tersebut AMMTC bukan sahaja menilai pencapaian sedekad yang lepas tetapi membuka bab baharu yang lebih komprehensif, membuktikan tekad rantau ini untuk terus berada di barisan hadapan dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan yang semakin mencabar.

Melaka kini menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan serta pembanterasan jenayah rentas sempadan berhimpun dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Program itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post HAMPIR RM1 JUTA INDAHKAN KAMPUNG BUKIT KATONG
Next post EE WEI IMPI HADIAHKAN KEJUARAAN LEBIH BESAR UNTUK NEGARA