Sorting by

×

Anggota bomba wajib ambil vaksin- Mohammad Hamdan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA BHARU 19 Sept. – Sejumlah 90 peratus daripada 14,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan baki 10 peratus akan menunaikan kewajipan itu dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pelalian vaksin COVID-19 adalah mandatori sebagai perlindungan diri daripada jangkitan memandangkan tugasan mereka sebagai ‘first responder’ dalam sebarang operasi kecemasan.

“Selain memastikan semua warga penyelamat sudah mendapat dua dos suntikan, pada masa yang sama kita mahu mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu memakai PPE (peralatan perlindungan diri) yang lengkap.

“Kita juga memantau tahap kesihatan anggota dengan membuat ujian saringan RT-PCR kepada warga penyelamat mengikut tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi dan menyempurnakan Majlis Pemakaian Tanda Pangkat kepada tujuh Pegawai Bomba Tinggi II (Gred KB 26) di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Udara JBPM Nazili Mahmood dan Pengarah JBPM Kelantan Zainal@Jainal Madasin.

Ditanya mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan anggota bomba, beliau berkata seramai 125 pegawai dan anggota disahkan positif (kategori satu dan dua) dan menjalankan kuarantin kendiri di rumah.

Menurutnya kebanyakkan anggota yang positif dikenal pasti menerima jangkitan bukan ketika bertugas sebaliknya penularan daripada komuniti.

“Mulai Mac tahun lalu hingga sekarang, warga JBPM dalam pemantauan (PUS) atau dalam siasatan (PUI) dijangkiti bukan daripada tugas tetapi melalui komuniti, misalnya pasangan yang bekerja sebagai jururawat atau guru,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post Kutip 53 kg sampah di Pantai Pengkalan Balak
Next post MySejahtera selesai lebih 500,000 masalah sijil vaksinasi digital- Khairy
Ubah saiz-+=