Angkasa terima 30 aduan salah guna Sijil Pematuhan Syariah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerima lebih 30 aduan dan laporan rasmi berkaitan penyalahgunaan Sijil Pematuhan Syariah yang dikeluarkan agensinya.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sijil itu disalah gunakan bagi tujuan memberi keyakinan kepada syarikat terlibat untuk membuat pelaburan bersama mereka.

“Kita dapati ‘trend’ ini meningkat sejak tahun 2018, ada individu yang cuba meniru sijil tersebut dan salah guna kepada orang awam dengan niat untuk menarik pelaburan.

“Sedangkan sijil tersebut kita hanya berikan pada koperasi dan anak syarikat sahaja, individu atau syarikat selain koperasi tiada hak untuk guna sijil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Perkhidmatan Kutipan & Pemulihan Kredit Angkasa (ACCRS) di Pejabat Angkasa Melaka di sini, hari ini.

ABDUL Fattah

Terdahulu beliau telah menandatangani dokumen MoA bersama tiga koperasi iaitu Koperasi Pekerja-Pekerja Kumpulan Sokongan Melaka Berhad, Koperasi Majlis Perbandaran Melaka Berhad dan Koperasi Perubatan dan Kesihatan Melaka Berhad.

Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) itu berkata, orang ramai yang ragu-ragu atau merasa tertipu dengan sijil dipamerkan perlu segera melaporkan kepada pihak polis.

“Jika ada yang ragu atau tertipu segera buat laporan polis dan rujuk kepada Angkasa sebab kita ada kod QR yang boleh diimbas di sijil tersebut untuk mengesahkan syarikat itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Angkasa menyasarkan sebanyak 430 koperasi kredit melaksanakan Sistem Tawarruq Angkasa bagi memastikan pembiayaan patuh syariah.

“Setakat ini sebanyak 70 peratus koperasi kredit telah menyertai sistem tersebut bagi tahun 2021 sehingga Jun 2022.

“Angkasa komited mempromosikan pembiayaan patuh syariah dalam kalangan koperasi kredit di Malaysia.

“Ini bagi memastikan koperasi kredit tidak terdedah kepada virus riba yang boleh memberi kesan negatif terhadap perolehan dan keuntungan yang berkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1221
Kongsi :
Previous post Keadaan bekas PM Jepun Abe ‘kritikal’
Next post MAIWP nafi terbabit dalam isu jemaah haji terkandas di KLIA
Ubah saiz-+=