
ANNISA’ AZZAHRAA, ANAK MELAKA HARUMKAN NAMA NEGARA DI SWITZERLAND
AYER KEROH 7 Mei – Usianya baru 11 tahun, namun Annisa’ Azzahraa Fauzi membuktikan dia juga mampu mengharumkan nama Malaysia dan Melaka khususnya apabila meraih tiga pingat gangsa pada Kejohanan Dunia Sukan Stacking, World Sport Stacking Association (WSSA) 2025 di Switzerland, 27 April lalu.
Annisa’ salah seorang daripada wakil Malaysia ke kejohanan tersebut menyertai kategori umur 9-10 tahun, mencatatkan masa cemerlang 8.196 saat, sekali gus menduduki tempat ketiga daripada 18 peserta sebaya lain dari seluruh dunia.
Anak kepada pasangan jurulatih kebangsaan sukan stacking, Mohamad Fauzi Taha, 44, dan Azlin Zaini, 45, Annisa’ mula mendapat pendedahan mengenai sukan ini seawal usianya lima tahun apabila kerap menemani ibu bapanya menyampaikan ceramah serta menganjurkan bengkel berhubung pengenalan sukan stacking di seluruh negara.
Pada tahun 2023, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rambai ini mula menyertai kejohanan antarabangsa dengan gelanggang pertamanya adalah kejohanan di Singapura, sejak itu dia terus mengekalkan momentum kecemerlangan di pentas dunia.
Bapanya yang juga guru Pendidikan Khas di SK Bukit Rambai dan jurulatih kebangsaan berkata, kejayaan diraih adalah hasil daripada latihan berterusan selain komitmen tinggi Annisa’ sendiri.
“Kami mula melatih Annisa’ secara serius sejak tahun lepas, walaupun baru berusia 11 tahun, dia sangat berdisiplin dan fokus.
“Saya dan isteri cuba memberikan sokongan sepenuhnya termasuk daripada aspek teknik dan mental. Kejayaan ini satu penghargaan buat seluruh keluarga dan negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohamad Fauzi turut berkongsi cabaran utama yang dihadapi termasuklah suhu dingin di Switzerland yang menjejaskan ketangkasan jari Annisa’. sementara itu perbezaan zon masa juga memberikan kesan daripada aspek mental.
“Sukan stacking atau ‘sport stacking’ adalah sukan berasaskan kepantasan dan koordinasi mata-tangan yang melibatkan susunan menaik dan menurun cawan khas dalam urutan tertentu secepat mungkin.
“Ia bukan sahaja meningkatkan fokus dan tumpuan, malah menggalakkan kecergasan minda dan fizikal. Sukan ini juga sangat sesuai untuk semua pelajar termasuk murid pendidikan khas,” katanya.
Menurutnya, antara kejohanan lain yang pernah disertai Annisa’ sepanjang mewakili negara adalah WSSA World Championship (Singapura) Asian Open (Korea) tahun 2023, WSSA World Championship (Orlando, USA), Asian Championship (Kuala Lumpur), Asian Open (Bangkok) tahun 2024 dan WSSA World Championship (Switzerland) tahun 2025.
Jelasnya, warga SK Bukit Rambai amat berbangga dengan pencapaian Annisa’ dan menyifatkannya sebagai suri teladan kepada murid lain dalam bidang sukan alternatif yang masih kurang dikenali di negara ini.
“Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa dengan sokongan keluarga, komuniti sekolah dan semangat kental, anak Melaka juga mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.