APM Alor Gajah tangkap lapan ekor ular seminggu 

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

ALOR GAJAH 26 Okt – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah menangkap tujuh hingga lapan ekor ular secara purata dalam tempoh seminggu disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, cuaca yang tidak menentu serta beberapa tempat dilanda banjir kilat baru-baru ini dikhuatiri mengundang kehadiran reptilia berbisa itu untuk mencari makanan.

Misalnya, menurut beliau, pada dua hari berturut-turut sejak semalam dan hari ini, pihaknya menangkap tiga ekor ular sawa dengan insiden serangan pertama berlaku di kandang kambing dekat Kampung Sungai Petai manakala dua ekor lagi di tangkap di Kampung Belimbing dan Rumah Awam Pulau Sebang.

“Dalam kejadian di Kampung Sungai Petai, kita menerima aduan daripada penduduk yang juga pemilik kandang kambing tersebut pada pukul 10.17 malam semalam dan segera mengerahkan empat anggota ke lokasi.

“Bila tiba di lokasi kejadian, kita dapati ular sawa seberat 100 kilogram dan panjang 12 meter berada dalam kandang dan cuba membelit seekor kambing namun tindakan pantas anggota berjaya menangkap ular sawa tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

ULAR sawa seberat 100 kilogram dan panjang 12 meter cuba membaham seekor kambing di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah namun berjaya dipatahkan oleh ketangkasan anggota APM Alor Gajah.

Menurut Abdul Hadi, anggota mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya menangkap ular sawa tersebut yang bertindak menaiki dinding dan siling kandang bagi mengelak ditangkap anggota terlibat.

“Kita syaki ular sawa tersebut datang dari hutan yang terletak pada bahagian belakang kandang tersebut,” katanya.

Katanya, tangkapan ular sawa kedua dan ketiga dibuat pada pagi keesokkan harinya di Kampung Belimbing dan Rumah Awam Pulau Sebang.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kehadiran reptilia berbisa itu yang dilihat gemar bersembunyi di kawasan semak samun untuk mencari makanan selain mencari kawasan tinggi sebagai tempat tinggal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post Rakyat Melaka taruh harapan kerajaan stabil, mampu tingkat ekonomi tadbir negeri
Next post 94.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi
Ubah saiz-+=