APM Melaka terima 10 bot sumbangan usahawan China

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 15 Julai – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka menerima sebanyak 10 bot gentian kaca hasil sumbangan Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CEMCC), hari ini.

Program tanggungjawab korporat sosial (CSR) CEMCC itu merupakan julung kali diadakan di negeri ini.

Sumbangan itu bertujuan memudahkan agensi itu menjalankan kerja-kerja menyelamat sekiranya banjir kilat berlaku di Melaka.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, pihaknya mewakili kerajaan negeri amat menghargai sumbangan CEMCC tersebut yang sangat membantu melancarkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Perkara seperti ini penting dan perlu ditunjukkan oleh syarikat-syarikat swasta di mana kita tahu sebagai sebuah syarikat sama ada syarikat tempatan atau syarikat pelabur asing yang berada di Malaysia, selain daripada memberi keutamaan kepada perdagangan dan perniagaan mereka juga memilkul tanggjungawab kepada masyarakat dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Sumbangan Bot kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka di Restoran Seafearer, di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM, Lt Kol Roydee Abdul Rahman menzahirkan rasa syukurnya di atas sumbangan berkenaan dan mengalu-alukan mana-mana syarikat yang ingin menyumbang bagi memudahkan pihaknya menjalankan kerja-kerja menyelamat pada masa akan datang.

Beliau berkata, kesemua bot yang diterima akan diagihkan ke tiga daerah di negeri ini berdasarkan keperluan bagi lokasi yang memerlukan.

“Terima kasih diucapkan kepada CEMCC dalam sumbangan yang diberikan. APM sentiasa menerima apa jua sumbangan bagi melancarkan kami dalam pengurusan bencana di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, dalam program itu Ban Hong bersama tetamu yang hadir telah melaksanakan gimik pelancaran menyerahkan 10 buah bot kepada APM hasil sumbangan dari CEMCC dan sebuah lagi dari sebuah syarikat tempatan dari Selangor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Warga pendidikan galas tugas penuh amanah
Next post i-MILIKI tawar pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=