APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM150,000

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KANGAR, 4 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 30 kilogram (kg) ketulan ganja mampat bernilai hampir RM150,000 dalam satu Op Khas di perairan Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata rampasan dibuat hasil risikan pasukan operasi khas APMM yang berjaya mengesan pergerakan masuk sebuah bot fiber dari negara jiran pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis sekitar 1.42 pagi.

“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan bertindak membuang satu bungkusan plastik berwarna hitam ke dalam laut sebelum menukar haluan berpatah balik ke negara jiran (Thailand),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam tersebut menemukan 30 bungkus ketulan ganja mampat dengan anggaran berat keseluruhan 30kg.

“Taktik mencampak barang antara yang sering dilakukan oleh kebanyakan sindiket yang melakukan aktiviti penyeludupan bagi memperdaya pihak berkuasa selain untuk memperlahankan bot APMM yang mengejar mereka,” katanya.

Beliau berkata daripada maklumat yang diperoleh APMM, sindiket tersebut mengunakan kaedah barter trade atau perdagangan barter iaitu sindiket dari Thailand membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini dan menukarnya dengan daun ketum daripada sindiket tempatan.

Menurutnya ini merupakan rampasan kedua dan terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis pada awal tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1204
Kongsi :
Previous post Sokongan Keluarga Malaysia penting kepada pesakit kanser – PM
Next post UTeM cakna nasib pelajar terjejas banjir
Ubah saiz-+=