UTeM cakna nasib pelajar terjejas banjir

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 4 Feb – Prihatin dengan nasib 174 pelajarnya yang terkesan akibat bencana banjir pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tampil menghulurkan bantuan.

Profesor Ir. Dr Ghazali Omar Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTeM berkata, keseluruhan Bantuan Pasca Banjir 2022 disampaikan berjumlah RM87,000.

“Mereka terjejas adalah mangsa banjir melanda beberapa negeri pada Dis 2021 dan awal Jan 2022 yang lalu.

“Bantuan sebanyak RM500 seorang itu dikreditkan terus ke dalam akaun setiap pelajar yang layak.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban pelajar terkesan akibat banjir di samping memberikan sokongan moral kepada pelajar,” katanya selepas menyerahkan replika cek bantuan kepada pelajar berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM, Muhammad Amri Hakimi Alias.

Sementara itu Sabri berkata, kebajikan pelajar sentiasa dititikberatkan apatah lagi mereka yang terkesan akibat bencana banjir.

“Bantuan tidak mengira latar belakang, kaum atau agama. Semoga sumbangan ini dapat memberi harapan dan semangat buat para pelajar meneruskan pembelajaran serta kehidupan,” katanya.

Manakala Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM, Muhammad Amri Hakimi Alias pula berkongsi rasa syukur dan amat berterima kasih di atas sumbangan pihak pengurusan tertinggi UTeM.

“Sumbangan ini dapat meringankan beban ditanggung pelajar yang terkesan banjir. Terima kasih UTeM dan saya amat berbangga dengan pihak Universiti yang terus prihatin, peka dan cakna terhadap isu-isu kebajikan pelajar,” katanya.

 

Views:

1050
Kongsi :
Previous post APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM150,000
Next post Dr Akmal mahu taja ujian PCR untuk 20 bakal jemaah umrah
Ubah saiz-+=