Sorting by

×

ARKIB KOMUNITI ‘JAMBATAN’ PELIHARA WARISAN SEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 11 Mei – Pendekatan Kementerian Perpaduan yang tampil dengan inisiatif Arkib Komuniti dilihat mampu memperkukuh usaha pendokumentasian dan pemeliharaan warisan negara menerusi penglibatan lebih meluas masyarakat dalam pengumpulan bahan sejarah setempat.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan itu turut membuka ruang kerjasama lebih erat antara Arkib Negara dan komuniti dalam usaha memastikan khazanah negara terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, sebelum ini Arkib Negara Malaysia lebih memberi fokus kepada rekod awam sahaja namun dibawah Kerajaan MADANI pendekatan menerusi Arkib Komuniti diperkasakan.

“Menerusi inisiatif ini ia membuka ruang kerjasama yang lebih antara Arkib Negara dan komuniti dalam pendokumentasian, penyimpanan serta pemeliharaan khazanah negara.

“Di samping itu penubuhan Arkib Komuniti turut menggalakkan pengumpulan sejarah setempat, mengisi jurang maklumat sejarah serta memupuk semangat menghargai warisan bersama dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini penting dalam memastikan sejarah komuniti khususnya yang kecil dan terpinggir terus dipelihara dan tidak hilang ditelan zaman, selain ia bukan sekadar inisiatif dokumentasi tetapi satu gerakan nasional yang memperkukuh jati diri sekali gus menyemarak perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Selatan 2026 Dan Arkib Komuniti Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah  Abdul Azis.

Aaron berkata, sehingga Mac 2026 jumlah koleksi komuniti di bawah Arkib Negara mencecah 309,740 unit meliputi dokumen, gambar, terbitan, bahan pandang dengar dan personalia.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas sebanyak 6,296 unit koleksi diterima daripada tokoh, individu, keluarga dan pertubuhan.

“Antara koleksi penting yang diterima termasuklah surat Sir Thomas Stamford Raffles bertarikh 1810, koleksi Tengku Omar Ibni Sultan Ahmad Shah bertarikh 1848 dan koleksi tokoh bahasa Za’aba pada 1903.

“Manakala untuk koleksi terbesar diterima setakat ini ialah milik Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid melibatkan 21,331 unit bahan arkib termasuk koleksi surat Tengku Omar turut diiktiraf UNESCO MOWCAP Regional Register 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post TAMAN PERMAINAN MODEN SDG PARK JADI TARIKAN BAHARU
Next post MAIM TAJA 20 ANAK ASNAF CEBURI TVET