Artifak zaman pemerintahan Sultan Mahmud ditemui di Pulau Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 17 Sept. – Sejumlah artifak dipercayai digunakan bagi tujuan perdagangan ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 ditemui di kawasan paya bakau Pulau Melaka di sini.

Antara artifak yang ditemui termasuk pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Song, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.

Pesuruhjaya Warisan Mesran Mohd Yusop berkata, artifak berkenaan yang terdiri daripada penemuan duit syiling pada zaman Dinasti dan serpihan seramik dipercayai digunakan dalam perdagangan antara Negara China dengan Melaka ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud antara tahun 1488 hingga tahun 1511.

Katanya, sebilangan artifak itu ditemui oleh orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan itu sebelum beberapa penyelidik mula membuat pencarian di kawasan itu sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, penemuan itu berlaku disebabkan perubahan aras air dan kerja penambakan laut di kawasan berkenaan yang menyebabkan serpihan artifak itu timbul di permukaan tanah.

“Seramik (celadon) yang ditemui itu difahamkan berasal dari zaman Dinasti Song pada abad ke-10, iaitu dinasti kedua selepas Dinasti Tang membawa ke Dinasti Yuan.

AKRAMUDDIN melihat antara serpihan rangka kapal yang ditemui di kawasan Pulau Melaka.

“Selain duit syiling serta serpihan seramik, juga turut menemui serpihan kayu dipercayai sebahagian daripada rangka kapal yang dipercayai kapal perdagangan, bagaimanapun kita akan buat kajian lanjut mengenainya,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan Pengurus Besar PERZIM Mohd Nasruddin Rahman.

Mesran berkata, kajian terperinci akan dijalankan Jabatan Warisan Negara (JWN) termasuk mengenai tarikh sebenar artifak berkenaan digunakan serta gambaran mengenai serpihan rangka kapal yang ditemui.

“Di situ juga nanti kita dapat mengenal pasti, tetapi kebenaran pada sejarah itu adalah benar kerana lokasi penemuan ini adalah kawasan perairan dan Melaka pada suatu ketika dahulu mempunyai pelabuhan yang terbesar di dunia.

ANTARA serpihan seramik dan tembikar yang turut dijumpai.

“Kita menjangkakan akan ada banyak lagi penemuan selepas rancangan penyelamatan arkeologi secara tidak langsung hasil penemuan itu sama ada membetulkan semula sejarah dan nilai tambah dari segi sejarah kepada negeri Melaka,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya berharap supaya kerajaan negeri dapat mengambil tindakan termasuk menutup kawasan tersebut bagi membolehkan kerja pencarian arkeologi di kawasan itu diteruskan.

“Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya kawasan itu ditutup sementara dan dikawal untuk kita membuat ekskavasi yang lebih lanjut memandangkan kawasan ini belum ada perancangan untuk dibangunkan.

“Kita berharap satu tindakan dapat diambil dengan lebih sistematik antara Jabatan Warian Negara (JWM) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk membuat kajian lanjut dengan lebih terperinci dengan kerjasama penyelidik kita diketuai Datuk Dr. Dionysius Sharma supaya dapat kenal pasti tentang sejarah Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru supaya orang ramai memaklumkan sebarang penemuan artifak kepada JWN supaya mematuhi Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Jelasnya, berdasarkan Akta 645 mengikut Seksyen 47 menyebut adalah menjadi tanggungjawab individu mahupun syarikat wajib memaklumkan kepada pesuruhjaya atau pegawai daerah, sekiranya terdapat sebarang penemuan artifak.

Views:

2105
Kongsi :
Previous post Trend salah guna dadah meningkat saban tahun
Next post TYT hadir ke Taman Mini Malaysia dan Asean sempena Hari Malaysia
Ubah saiz-+=