Sorting by

×

ATM atur gerak petugas, kelengkapan hospital medan ke Turkiye

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga ke Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata dengan kebijaksanaan dan pengalaman petugas-petugas yang terlibat dalam Op Starlight itu, mereka mampu mengendalikan situasi semasa sekali gus dapat meredakan sebarang ketegangan.

“Saya meminta petugas-petugas yang terlibat agar kekal fokus dan bersedia dari aspek fizikal dan mental agar dapat memberikan khidmat bantuan yang terbaik kepada mangsa-mangsa gempa bumi berkenaan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penghantaran Op Starlight 2 di Pangkalan Udara Subang di sini, awal pagi tadi.

Sementara itu, Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tujuan utama pengoperasian HMM di Turkiye ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan.

Menurut kenyataan itu keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi diterbangkan ke Turkiye dalam tiga fasa penghantaran mulai hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

HMM yang akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara berkapasiti 60 katil turut dilengkapi kemudahan wad, Bilik Pembedahan, Unit Rawatan Rapi, Radiologi dan makmal.

Ia juga menawarkan sembilan kepakaran iaitu Perubatan Primer, Orthopedik, Pembedahan, Anesthesia, Maxilo-Facial, Obsterik & Ginekologi, Pediatrik, Opthalmologi dan Perubatan Kecemasan.

Melalui kemudahan yang disediakan membolehkan HMM memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kepada mangsa.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.

Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Hotel MITC tawar Menu Rahmah RM5
Next post Taman tema air panas permata baharu Gadek
Ubah saiz-+=