‘Atuk guard’ didakwa rogol kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 6 Okt. – Seorang lelaki warga emas berdepan hukuman penjara selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada bulan lepas.

Bagaimanapun, tertuduh, Jaafar Omar, 65, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa yang juga lembam berumur 11 tahun lapan bulan tanpa kerelaannya sekitar jam 10.30 malam di pondok keselamatan sebuah syarikat terletak di Jalan Malim pada 25 September lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh pada pertuduhan kedua didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pada pertuduhan ketiga, tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut didakwa memiliki telefon bimbit yang mengandungi video lucah kira-kira pukul 1.15 petang di hadapan sebuah rumah di Taman Mutiara Malim pada 27 September lalu.

Bagi kesalahan itu pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim yang mengendalikan pendakwaan terbabit memohon mahkamah agar tidak membenarkan sebarang jaminan bagaimanapun sekiranya budi bicara digunakan, beliau mencadang sebanyak RM50,000 dikenakan untuk keseluruhan pertuduhan itu dengan syarat tambahan.

Manakala, Peguam Fahmy Sulaiman yang mewakili anak guamnya merayu agar jaminan rendah ditawarkan dengan alasan tertuduh bekerja dengan pendapatan RM1,400 sebulan malah, perlu menanggung isteri dan enam orang anak, malah merupakan penghidap kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Setelah mendengar hujah kedua pihak, Norma dalam penghakimannya membenarkan tertuduh diikat jamin selepas rayuan kedua pihak terbabit dengan menetapkan ikat jamin dikenakan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Malah, turut menetapkan syarat tambahan dengan tidak mengganggu mangsa sehingga kes diselesaikan atau jaminan ditarik serta merta.

Mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Views:

1147
Kongsi :
Previous post Tewaskan JDT mampu jadi penawar duka MU
Next post Ekosistem teknologi digital perlu diubah untuk tampan impak COVID-19
Ubah saiz-+=