Sorting by

×

AYER MOLEK NADI PENERUS PERMAINAN GASING

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER MOLEK 28 Julai – Di sebalik ledakan gajet dalam arus kemodenan masa kini, ia sama sekali tidak menggugat permainan tradisional seperti gasing untuk terus hidup di Kampung Pengkalan Renggam.

Ia selepas permainan rakyat itu sehingga kini masih menjadi pilihan masyarakat dan kekal dilestarikan dari generasi ke generasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, kewujudan sebuah gelanggang gasing khusus untuk kegunaan komuniti setempat sejak dahulu lagi menjadikan permainan itu masih mempunyai peminat yang tersendiri.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, usaha berterusan termasuk menaik taraf gelanggang tersebut turut dilakukan demi keselesaan pemain seterusnya memastikan ia tidak lenyap ditelan zaman.

Jelasnya, setakat ini, terdapat tiga gelanggang gasing yang masih berfungsi di negeri ini iaitu di Jasin, Kampung Pengkalan Renggam dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.

“Memang kita sangat prihatin dengan keadaan gelanggang gasing ini kerana di sinilah aktiviti bermain sukan tradisional ini masih aktif.

“Tahun lepas juga saya telah memberi peruntukan RM20,000 untuk membaik pulih gelanggang ini, malah JKKN Melaka turut memberikan peruntukan tambahan,” katanya.

Img 20250728 wa0000
RAHMAD melihat aksi permainan gasing pada program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya@Komuniti ‘Rewang Sekampung’ @ Ayer Molek di Kampung Pengkalan Renggam.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya@Komuniti ‘Rewang Sekampung’ @ Ayer Molek di Kampung Pengkalan Renggam, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias dan kenamaan lain.

Dalam pada itu, Rahmad turut menyeru agar lebih ramai generasi muda untuk tampil menghidupkan kembali permainan gasing di negeri ini agar warisan itu terus dipertahankan.

Pada masa sama, katanya, permainan itu juga boleh diketengahkan kepada gadis dan wanita di negeri ini bagi menambahkan lagi warna dan keunikan sukan tradisional negara.

Untuk rekod, selain permainan gasing, Rewang Sekampung @ Ayer Molek diadakan selama dua hari menghimpunkan pelbagai acara menarik seperti penyediaan Nasi Ambeng, boling kelapa, pakaian beragam tradisional cilik, pertandingan membuat ondeh-ondeh dan pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post TIGA USAHA MELAKA PERKUKUH EKOSISTEM KOPERASI
Next post KES DENGGI DI MELAKA MENURUN 48 PERATUS