Baharu sehari, MPHTJ terima sumbangan bantuan banjir bernilai RM10,000

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 23 Dis – Baharu sehari kaunter pengumpulan sumbangan kepada mangsa banjir anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dibuka namun ia telah berjaya mengumpulkan pelbagai barangan berjumlah kira-kira RM10,000.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, kaunter tersebut baharu dibuka semalam di lobi Melaka Mall bertujuan untuk mengumpul pelbagai barangan keperluan sumbangan orang ramai sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di negeri yang terkesan.

Menurutnya, antara barangan yang disumbang oleh orang ramai seperti tilam, bahan dan peralatan pembersihan rumah, alat permainan kanak-kanak dan mesin pemancut air.

“Kita menerima sambutan yang amat baik dari seluruh rakyat negeri ini yang tidak henti-henti memberi sumbangan sejak kaunter pengumpulan dibuka semalam.

“Malah, ada syarikat yang memaklumkan kepada kami untuk menghantar sumbangan menggunakan treler demi untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Selebriti, Penyampaian Musa’adah Yadim dan program Kembali Ke Sekolah sempena bulan Dakwah 2.0 di Melaka Mall, hari ini.

SHADAN (kanan) bersama Kalsom (dua dari kanan) melihat pusat pengumpulan sumbangan kepada mangsa banjir yang baharu dibuka semalam di lobi Melaka Mall.

Katanya, hasil pemerhatian mendapati, orang ramai yang datang membeli belah di Melaka Mall mengambil kesempatan membeli barangan di pasaraya di situ dan kemudiannya menyumbang barangan tersebut di kaunter pengumpulan.

Ujar Shadan, sumbangan yang terkumpul itu nanti akan diserahkan kepada mangsa banjir yang terkesan di negeri Pahang memandangkan ketika ini bantuan dilihat masih belum tiba di negeri tersebut.

“Kita lihat Selangor semakin ramai menerima bantuan dari badan-badan bukan kerajaan cuma Pahang masih belum lagi, jadi, kita sasarkan untuk ke negeri Pahang nanti.

“Setakat ini, kita masih menunggu lampu hijau daripada pejabat kerajaan negeri Pahang untuk membenarkan kita ke negeri itu untuk menghantar barangan sumbangan.

“Oleh itu, selagi belum dapat kebenaran dari sana (Pahang), kaunter pengumpulan sumbangan akan terus dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 7 malam, setiap hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post UiTM Melaka bantu mangsa banjir Lubok China
Next post UTeM beri kelonggaran kepada pelajar terkesan banjir
Ubah saiz-+=