Sorting by

×

BAJET 2026 MELAKA: KONGSI PANDANGAN, CADANGAN MENERUSI MEDIA SOSIAL KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Kerajaan Negeri bakal merangka Bajet 2026 secara lebih inklusif terutamanya dengan mengambil kira pandangan rakyat pelbagai lapisan bagi memastikan kesejahteraan dan pembangunan mampan dapat dinikmati secara menyeluruh.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, satu tinjauan awam akan dilaksanakan melalui platform media sosial untuk mengumpul pandangan serta cadangan rakyat peringkat akar umbi.

Katanya, kaedah itu digunakan bagi memastikan suara orang Melaka didengari seterusnya melaksanakan Bajet 2026 Melaka yang berorientasikan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri lebih mampan.

“Bermula hari ini, melalui media sosial saya, satu tinjauan awam akan dilaksanakan sebagai persediaan Bajet 2026 Melaka. Ia bertujuan mendapatkan pandangan rakyat di akar umbi, supaya bajet ini benar-benar inklusif, berorientasikan rakyat dan mampu memacu kesejahteraan serta pembangunan mampan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post PRESTASI KEWANGAN MELAKA TERUS KUKUH – KM
Next post RMK13: MELAKA KEMUKA 258 PROJEK PEMBANGUNAN