Bangkit daripada kemusnahan kolam akibat banjir

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

Bangkit daripada kemusnahan kolam akibat banjir

TABOH NANING 9 Feb. – Pengusaha kolam di Kampung Sungai Buloh, di sini, yang terjejas teruk akibat banjir pada September tahun lalu kini bangkit mengusakan penternakan ikan air tawar.

Pendakwah bebas, Mohd Uda Kasim, 53, berkata dia tidak berputus asa untuk membina semula kolam seluas kira-kira tiga suku padang bola bagi menjana dana pusat tahfiz al-Quran yang bakal dimajukannya.

MOHD Uda Kasim

“Saya mengusahakan pusat tahfiz di Bukit Kuda, Klang, Selangor sejak beberapa tahun lalu dan sekarang saya bercadang membuka pusat yang sama di kampung halaman saya di sini.

“Bermodalkan kira-kira RM6,000 saya mengupah jentera pengorek mendalamkan semula kolam dan membina tebing yang lebih kemas sebelum memasukkan kira-kira 40,000 anak ikan keli dan tilapia merah bulan depan,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Mohd Uda yang pernah dikenali ramai kerana sering muncul dalam program agama terbitan Selangor FM berkata, banjir September lalu menyebabkan ribuan ikan keli dan tilapia merah dalam kolamnya serta kolam pengusaha lain terlepas keluar.

Katanya, walaupun ketika itu kolamnya tidak dipenuhi ikan 100 peratus, ia tetap menyebabkan kerugian dan kini beliau berusaha memulakan semula industri berkenaan.

“Allah ambil harta saya dan harta pengusaha penternakan ikan yang lain dalam sekelip mata tetapi kita jangan berputus asa dengan rahmat Allah kerana setiap musibah itu ada hikmah di sebaliknya,” katanya yang juga bekas pegawai Lembaga Zakat Selangor.

Beliau menjelaskan, tapak tahfiz kira-kira 100 meter dari kolam berkenaan setakat ini masih dipenuhi pokok hutan dan akan dibersihkan tidak lama lagi bagi memulakan kerja pembinaan tahfiz.

Katanya, pelajar pusat berkenaan akan dibimbing kaedah memelihara ikan, menangkap dan memasarkannya bagi menjana pendapatan untuk membiayai kos operasi tahfiz.

Katanya, usaha mendapatkan dana melalui pemasaran ikan adalah sebahagian daripada kaedah untuk memastikan kelangsungan operasi pusat tahfiz dan tidak seharusnya ia hanya bergantung kepada yuran pelajar dan infaq oleh orang ramai.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan melayari Facebook Ustaz uda Kasim.

Views:

1358
Kongsi :
Previous post Jalan kampung dijadikan jalan pintas elak sekatan polis
Next post Peluang jadi sukarelawan kajian klinikal fasa 3 vaksin COVID-19 masih terbuka- KKM
Ubah saiz-+=