Jalan kampung dijadikan jalan pintas elak sekatan polis

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 9 Feb. – Penduduk di Kampung Paya Rumput, di sini, meluahkan rasa kurang senang apabila jalan kecil di kampung berkenaan kini dijadikan laluan alternatif untuk mengelakkan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Seorang penduduk, Rosli Jaafar, 56, berkata, sejak PKP 2.0 dikuatkuasakan jalan itu yang sebelum ini hanya dilalui penduduk kampung dan taman berhampiran, kini menjadi sesak seolah-olah berubah menjadi jalan utama.

Dia yang juga wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan berkenaan memaklumkan, situasi itu bertambah buruk apabila kenderaan berat seperti lori dan bas turut melalui jalan yang diberi nama Jalan Tuan Guru Hj Ahmad itu.

JALAN menjadi sesak apabila berlakunya pertembungan di antara dua kenderaan.”Biasanya jalan ini hanya menjadi sedikit sibuk apabila tiba waktu kemuncak. Tapi, tengoklah sekarang, hampir setiap masa ia dilalui pelbagai jenis kenderaan.

“Malah, ada penduduk mengadu jalan ini turut dilalui bas kilang dan lori simen yang mahu mengelak daripada sekatan.

“Jadi, saya minta sangat agar dilakukan sesuatu sebelum perkara buruk terjadi. Kalau boleh pihak berkuasa tolonglah letak papan tanda untuk melarang kenderaan berat melalui kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

ZAINAL mahu pihak berkuasa bertindak segera sebelum berlaku kejadian tidak diingini termasuk kemalangan membabitkan penduduk kampung itu.

Zainal Abdul Aziz, 62, pula berkata kesesakan di jalan berkenaan berlaku apabila SJR di sempadan Rembia dan Paya Rumput dipindahkan ke lokasi baharu iaitu di selepas persimpangan lampu isyarat Taman Paya Rumput Indah.

Berpunca daripada itu, ujarnya, beratus kenderaan setiap hari mula menjadikan laluan kecil itu sebagai jalan pintas untuk mengelakkan sekatan.

“Bila lori, bas dan pelbagai jenis kenderaan melalui jalan ini memang kita takutlah jika berlakunya kemalangan terutama membabitkan penduduk kampung.

“Satu lagi kita juga tak mahu jika ada penjenayah atau pengedar dadah menjadikan jalan ini sebagai jalan pintas untuk melakukan kegiatan jahat mereka.

“Jadi kita merayu sangat agar pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu sebelum berlakunya sebarang kejadian tidak diingini di sini,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini di jalan berkenaan mendapati pelbagai jenis kenderaan termasuk lori 10 tan melalui jalan berkenaan sejak pagi.

Malah, ada antara kenderaan memandu secara berbahaya meskipun melalui jalan kecil yang bersimpang-siur.

Sementara itu, Pegawai Turus Ketenteraman Awam negeri, Deputi Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, pihaknya sedia maklum perkara itu dan sedang menilai untuk menyusun strategi baharu sekatan.

“Isu jalan tikus ini telah dalam pengetahuan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan seterusnya akan dibincangkan bersama Ketua Polis Melaka untuk menentukan sama ada laluan itu perlu ditutup atau memindahkan SJR ke lokasi baru menghala ke Alor Gajah.

“Perkara ini perlu dinilai dengan teliti dan kita tidak boleh mengambil tindakan drastik memindahkan SJR ini serta-merta kerana ia melibatkan banyak elemen dan jabatan penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi.

Views:

1069
Kongsi :
Previous post ‘Spiderman’ jual mangga asam boi
Next post Bangkit daripada kemusnahan kolam akibat banjir
Ubah saiz-+=