‘Spiderman’ jual mangga asam boi

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

SUNGAI RAMBAI 9 Feb – Gelagat seorang lelaki memakai kostum adiwira Spiderman ketika menjual mangga asam boi bukan sahaja menghiburkan pelanggan, malah ia dianggap mampu menjadi pakaian pelindung diri (PPE) kepada dirinya.

Itu kreativiti Noraiman Ibrahim, 19, yang muncul memakai kostum berkenaan sambil melambai-lambai bagi menarik pelanggan untuk membeli produk jualannya di persimpangan lampu isyarat Jalan Merlimau – Batu Gajah, Lebuhraya Alor Gajah – Merlimau – Jasin (AMJ), dekat sini.

Dia berkata, kostum itu dibelikan oleh majikannya untuk dijadikan sebagai pelaris kepada pengguna jalan raya untuk membeli jualannya.

Noraiman dan Mat Hafiz masing-masing mengenakan kostum animasi ‘Spiderman’ dan Tanjiro Kamado sebagai pelaris jualan mangga asam boi.

“Boleh kata juga saya memakai baju Spiderman ini untuk melindungi diri daripada penularan COVID-19 ketika bekerja.

“Dalam melakukan kerja ini, kita kena percaya, seandainya sudah ditakdirkan terkena virus (COVID-19), saya tawakal sahaja sebab risiko ada di mana-mana,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut Noraiman berkata, meskipun hampir enam jam sejak 10 pagi terpaksa berpanas terik memakai kostum itu, namun dia tidak pernah mengeluh malah mengganggap gelagatnya mampu menceriakan pelanggannya.

Dia berkata, dia mula menjual mangga sejak setahun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan kerana mahu mencuba pengalaman baharu selain bebas menentukan masa sendiri untuk bekerja.

UNIK…Noraiman berkata pemakaian kostum Spiderman berjaya mencuri tumpuan pelanggan.

“Mula-mula saya hanya mengikut orang yang tinggal di kawasan rumah untuk menjual, namun sampai satu tahap, saya mula selesa dan dapat jumpa bermacam orang, selain melakukan ibadah sebab dapat menghiburkan pelanggan.

“Saya pakai kostum ini cuma mahu tarik pelanggan, mahu buat anak-anak pelanggan gembira dan antara pengalaman yang saya masih ingat lagi ketika menjual di Batu Pahat,ada seorang pelanggan berbangsa Cina datang untuk mengambil gambar dan kemudian tolong kami habiskan jualan,” katanya.

Bagi Mat Hafiz Hamidan, 30, yang mengenakan kostum animasi Tanjiro Kamado, dia tidak mempunyai pilihan lain untuk menyara kehidupannya bersama isteri selepas diberi cuti tanpa gaji oleh majikan di sebuah kilang di Muar tiga bulan lalu.

Katanya, pada mulanya dia menjual mangga kerana mahu menambah pendapatan, namun meletakkan jawatan sebagai pekerja kilang kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap penjualan mangga.

“Kalau dulu, kerja kilang ikut masa dan undang-undang tempat kerja tetapi sekarang ikut kesesuaian masa kita, namun perlu berusaha lebih sekiranya mahu mendapat rezeki lebih.

“Pada permulaan memang ada rasa malu serta memikirkan pandangan orang terhadap kita namun apabila melihat rakan-rakan sekerja boleh, jadi saya nekad serta cabar diri sendiri untuk jual mangga,” katanya yang menerima komisyen bagi setiap balang mangga tersebut.

Views:

1467
Kongsi :
Previous post India: Korban runtuhan glasier di Uttarakhand meningkat kepada 26 orang
Next post Jalan kampung dijadikan jalan pintas elak sekatan polis
Ubah saiz-+=