Bangunan MPAG ikon baharu Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

ALOR GAJAH 27 Oktober – Bangunan baharu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) diharap akan meningkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan awam 342 kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu kepada penduduk daerah ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis MPAG yakin bangunan baharu itu juga akan memupuk suasana kerja yang lebih kondusif dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Sulaiman berkata, melengkapkan PBT dengan segala kemudahan bukan sahaja membantu melancarkan pelbagai urusan sebaliknya dapat meyakinkan pelabur dan bakal pelabur tentang imej serta tadbir urus Perbandaran Alor Gajah.

“Syukur Alhamdulillah, MPAG berjaya membangunkan bangunan pejabat yang direka mengikut keperluan pentadbiran semasa dengan menggarap konsep Hijau Melaka seiring dengan norma baharu bercirikan bangunan moden masa kini serta menumpukan kepada keselesaan, keselamatan pelanggan selain warga kerja MPAG sendiri.

“Saya merasakan memang sudah masanya MPAG memiliki pejabat baharu yang lebih selesa dengan dilengkapi pelbagai fasiliti untuk memudahkan dan melancarkan urusan pentadbiran, lebih-lebih lagi untuk memberi perkhimatan kepada pelanggan.

“Difahamkan, sebelum ini pejabat lama MPAG mempunyai bilangan bilik mesyuarat yang sangat terhad untuk menampung pelbagai mesyuarat dan perbincangan jabatan. Bukan itu sahaja, ruang kerja sangat padat dan terhad untuk menerima kunjungan pelanggan iaitu rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat MPAG, di sini, hari ini.

Hadir sama pada Majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut Hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Yang Dipertua MPAG Tpr Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Menurutnya, kos perbelanjaan pejabat baharu MPAG adalah sebanyak RM28.5 juta yang meliputi kos pembinaan RM23.5 juta dan kos tanah RM5 juta, siap dibina sepenuhnya pada April 2021 yang lalu.

“Projek pembinaan bangunan ini dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang merupakan satu bentuk kerjasama di antara sektor awam dan swasta.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri tiada halangan dan menggalakkan sektor swasta memainkan peranan sebagai pemacu ekonomi sesebuah kawasan. Kolaborasi sektor awam dan swasta juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3299
Kongsi :
Previous post KEMAS lahir hampir 500 graduan TVET tahun ini
Next post Ahli majlis pantau saliran belum diselenggara
Ubah saiz-+=