Banjir: 373 mangsa di Melaka masih belum dapat pulang ke rumah

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 8 Jan – Seramai 373 mangsa banjir di negeri ini masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah itu direkodkan pihaknya sehingga jam 12 tengah hari ini dan menunjukkan penurunan berbanding 389 pada jam 8 pagi tadi.

Beliau berkata, daerah Jasin merekodkan mangsa tertinggi masih di PPS dengan 369 orang manakala empat mangsa dari Alor Gajah.

“Tiga PPS di Jasin yang masih dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, SK Seri Mendapat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.

“Manakala di Alor Gajah hanya satu PPS masih dibuka iaitu di SK Belimbing Dalam yang menempatkan empat mangsa dari satu keluarga.

“Di Melaka Tengah pula, kesemua PPS yang dibuka sebelum ini sudah ditutup sepenuhnya sejak Khamis,” katanya.

Menurutnya, Jasin juga masih mencatatkan kawasan terjejas paling banyak dengan empat kawasan dan di Alor Gajah hanya Kampung Belimbing Dalam yang masih terjejas.

“Kampung yang masih terjejas adalah di Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post Melaka sedia 60 unit rumah percuma buat asnaf, fakir miskin – KM
Next post Melaka akan rapatkan saf solat jemaah di masjid apabila keadaan pulih – KM
Ubah saiz-+=