Banjir: Bantuan banjir RM1,000 akan diperincikan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KRUBONG 20 Dis. – Kerajaan negeri akan mengkaji perincian berhubung bantuan banjir yang disalurkan kerajaan pusat berjumlah RM1,000 supaya disalurkan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

Exco Hal Ehwal Kebajikan negeri , Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya akan menilai semua kriteria pengagihan bantuan itu berikutan perkara diumumkan sedikit mengelirukan.

“Bantuan RM1,00 ini agak mengelirukan kerana kita nak tahu jumlah itu dari segi bentuk apa yang nak disalurkan dan dari jenis banjir yang macam mana, adakah yang dinaiki air satu kaki atau keseluruhannya atau mereka yang hilang rumah kediaman, kita akan duduk semula kaji perkara ini.

“Bagaimanapun, untuk bantuan awal kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan tabung bencana banjir bernilai RM200 kepada mangsa yang terjejas di negeri ini.

“Bantuan itu sebagai awalannya jadi jika mana mana mangsa banjir yang memerlukan bantuan mereka bolehlah panjangkan laporan kepada pihak Japerun di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan dan mengagihkan bantuan kit makanan kepada 15 keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Tanah Merah di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir akan disalurkan selepas kesemua mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pulang ke rumah masing-masing.

Terdahulu, Kalsom yang juga Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong dan mengagihkan sumbangan kepada 30 keluarga di PPS berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi jaminan setiap bekalan bantuan kit makanan mencukupi kepada semua mangsa banjir di negeri ini susulan fenomena itu.

Menurutnya, pelbagai bantuan telah diterima dari pelbagai pihak termasuk individu perseorangan disampaikan selain dibantu sukarelawan terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Alhamdulillah kita melihat keadaan di kawasan PPS yang disediakan begitu memuaskan dengan kelengkapan buat mengsa banjir yang dipindahkan.

“Kita berharap agar semua mangsa yang ditempatkan perlu banyak bersabar dengan fenomena yang berlaku dan ia dilihat semakin reda biarpun kita berada dalam langkah berjaga-jaga bagi berdepan gelombang kedua atau ketiga kejadian banjir di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post Mangsa cerita pengalaman berendam dalam banjir lebih lima jam
Next post Tiga mayat mangsa banjir lumpur Telemong ditemukan
Ubah saiz-+=