Mangsa cerita pengalaman berendam dalam banjir lebih lima jam

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUANTAN, 20 Dis – Seorang pengusaha chalet dan inap desa yang terperangkap dalam kejadian banjir di Janda Baik, Bentong dekat sini terpaksa berendam dalam air lebih lima jam sebelum beliau memanjat ke siling bumbung rumah untuk menyelamatkan dirinya dan keluarga.

Menceritakan detik cemas itu, Nor Azian Sapian Suri, 51, berkata paras air naik mendadak menyebabkan beliau bersama suami serta dua anak tidak sempat untuk keluar meninggalkan kediaman mereka dalam kejadian pada malam Sabtu itu.

Menyifatkan kejadian banjir itu sebagai yang terburuk pernah ditempuhinya, ibu kepada lima anak itu berkata paras air mula naik sekitar pukul 7 malam dan memasuki rumah, tujuh chalet dan sebuah inap desa mereka.

“Masa mula kami masih lagi mampu bertahan tetapi selepas berendam terlalu lama di dalam air yang mula naik hampir separas pinggang dari pukul 8 malam sehingga 1 pagi, kami sudah lemah, sejuk dan menggeletar…ketika itu arus deras pihak bomba tidak dapat masuk untuk selamatkan kami.

“Risau dengan situasi itu membuatkan kami nekad memanjat siling dengan menyusun kerusi di atas almari untuk menyelamatkan diri, kami hanya duduk di atas sebatang kayu sehingga 4 pagi. Suasana memang menakutkan, saya hanya ingat mati pada waktu itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Setelah berada di atas siling rumah kira-kira tiga jam, beliau berkata mereka sekeluarga berjaya dikeluarkan oleh bomba sebelum dibawa ke kawasan tinggi berhampiran masjid.

Kejadian itu turut menyebabkan anak perempuannya terpaksa dibawa ke hospital semalam kerana kurang sihat disebabkan mengalami masalah tekanan darah.

Menurutnya perasaan tidak sedap hati juga mendorong beliau meminta penghuni di chaletnya supaya keluar meninggalkan lokasi itu terlebih dahulu pada hari kejadian dan berjanji akan memulangkan wang tempahan mereka.

“Chalet saya memang ada pelanggan dari Melaka, Terengganu dan Perak, namun pada petang hari kejadian ketika air mula naik saya telah minta pelanggan untuk keluar, nasib baik mereka akur dan duduk di masjid berhampiran.

“Biasanya banjir paling tinggi pun pada paras betis sahaja, tapi tahun ini di luar jangkaan…habis perabot dan barang elektrik di dalam rumah dan chalet saya,” katanya yang mengusahakan chalet dan inap desa berkenaan sejak lapan tahun lepas. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1258
Kongsi :
Previous post Banjir – Johor hantar bantuan banjir melalui Southern Volunteers
Next post Banjir: Bantuan banjir RM1,000 akan diperincikan – Exco
Ubah saiz-+=