Banjir: Fenomena air termenung pula di Lubok China

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER LIMAU 21 Dis – Banjir besar sudah selesai tetapi sekarang banjir termenung masih menghantui satu keluarga di Kampung Bangsal Atap, Lubok China di sini.

Selepas air di kebanyakan kawasan kampung itu surut mulai petang semalam, kediaman keluarga Rohaya Ibrahim, 60, dan adiknya, Halimah, 50, masih ditakungi air yang terlalu lambat untuk bergerak keluar.

Rohaya berkata, dalam kejadian jam 5 pagi Sabtu lalu, rumah tradisional warisan ibu bapanya dinaiki air setinggi kira-kira dua meter tetapi tiada sesiapa pun di rumah ketika itu.

“Walaupun rumah itu kosong, kami adik-beradik selalu datang ke rumah berkenaan, terutama ketika ingin mengadakan kenduri doa selamat.

“Kawasan di sekeliling rumah itu tiada laluan air untuk keluar ke sungai, jadi air masih bertakung dan terlalu lambat bergerak,” katanya ketika ditemui membersihkan kedai kraftangannya bersebelahan rumah itu, di sini hari ini.

Dia berkata, selain barangan kraftangan seperti tudung saji, turut tenggelam dalam banjir ialah makanan tradisional seperti dodol, wajik dan cencaluk.

Halimah berkata, lazimnya apabila berlaku banjir, air naik setinggi kira-kira satu meter tetapi kali ini, air naik hingga lebih dua meter dan hampir mencecah bumbung rumah.

“Keadaan kali ini amat membimbangkan kami kerana air naik terlalu tinggi hingga hampir mencecah bumbung.

“Air di kawasan lain sudah surut, tetapi di sini, banjir termenung menyukarkan kami untuk membersihkan rumah,” katanya.

Dia berkata, tahun ini sahaja sudah tiga kali banjir melanda kampung berkenaan dan rumah serta kedai berkenaan adalah antara yang paling teruk terjejas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Penduduk sifatkan banjir di Mentakab terburuk sejak 50 tahun
Next post Akui kelemahan, urus banjir akan ditambah baik, tanggungjawab bersama – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=