Penduduk sifatkan banjir di Mentakab terburuk sejak 50 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TEMERLOH, 21 Dis – Walaupun telah membuat persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh, penduduk di kawasan Mentakab di sini, tidak menyangka banjir yang melanda kali ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Menyifatkan ia banjir terburuk sejak 1971, seorang penduduk Kampung Mambang Berulang, Syamsudiar Wahid, 59, memberitahu Bernama rumahnya buat pertama kali ditenggelami air sehingga ke paras bumbung berbanding paras pinggang sebelum ini.

Masih terkesan dengan kejadian banjir yang berlaku pada awal Januari lepas, katanya bencana kali ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Bumbung rumah masih kelihatan sedikit dan sebahagian daripada atap telah tercabut. Barang yang kami letakkan di bahagian atas yang dibina untuk menyimpan barang ketika banjir (paras siling) juga tidak dapat diselamatkan,” katanya sambil menambah ada rumah kayu di kampung berkenaan yang hanyut sepenuhnya dibawa arus deras.

AIR mencecah bumbung di Taman Mentakab Indah, Pahang Foto Facebook

Syamsudiar berkata beliau bersama enam ahli keluarga lain termasuk tiga orang cucu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Cermin apabila air mula memasuki ruangan dapur rumahnya pada malam Ahad.

Di Kampung Batu Kapur, penduduk berkata puluhan rumah ditenggelami air sepenuhnya, manakala beberapa kawasan tinggi yang tidak pernah dinaiki air turut terjejas.

Menurut Nurhafiza Vaktiar, 23, kawasan Bukit Permata di kampung berkenaan tidak pernah dilanda banjir sebelum ini namun buat pertama kalinya air naik sehingga mencecah halaman rumahnya.

“Kami hanya mampu menyaksikan rumah-rumah di bahagian bawah bukit ditenggelami air, ada yang masih nampak bumbung, ada juga sudah langsung tidak kelihatan. Banjir kali ini memang luar biasa,” katanya.

Pekerja di sebuah kedai emas di Bandar Mentakab, Neti Ervina Anuar berkata beliau dan rakan sekerja sempat menyelamatkan barangan dan dokumen-dokumen kerja yang penting selepas waktu subuh pada Isnin meskipun air naik terlalu pantas.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata setakat 11 pagi tadi, paras air sudah mencecah tingkat dua kedai berkenaan.

“Ini pertama kali kedai habis tenggelam. Ketika banjir pada Januari lepas air hanya naik sehingga paras peha,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1398
Kongsi :
Previous post Banjir: 70,000 anak ikan tilapia merah mati
Next post Banjir: Fenomena air termenung pula di Lubok China
Ubah saiz-+=