Banjir: JBPM sedia letak anggota di pusat mengundi jika diperlukan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR SETAR, 25 Okt – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menempatkan anggotanya di beberapa lokasi pusat mengundi yang dikenal pasti berkemungkinan berlaku banjir jika diperlukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata bagaimanapun, langkah itu tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan 12,500 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi banjir yang dijangka berlaku berikutan musim monsun timur laut (MTL).

“Sekiranya diperlukan, kita akan bersedia di pusat mengundi tertentu atas permintaan pihak yang berkenaan. Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran sudah ada ramalan (banjir).

“Jadi, kita akan letak anggota di lokasi pangkalan hadapan dalam keadaan siap siaga paling tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Bicara Governans Integriti dan Antirasuah (BiGIAR) Siri 2 2022 JBPM di Universiti Antarabangsa Al-Bukhari di sini hari ini.

Hampir 500 peserta daripada 49 agensi keselamatan dan penguatkuasaan menyertai forum berkenaan.

Mohammad Hamdan berkata JBPM sentiasa siap siaga sejak banjir besar yang melanda Selangor pada penghujung tahun lepas selain peka dengan perubahan cuaca terutamanya kejadian banjir yang mungkin berlaku di luar kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada sebarang kes rasuah dilaporkan melibatkan pegawai dan anggota JBPM di seluruh negara hingga Oktober ini, manakala hanya dua kes rasuah direkodkan membabitkan jabatan itu tahun lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1400
Kongsi :
Previous post Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh di Serendah
Next post Tebatan banjir di Durian Tunggal akan dilaksanakan
Ubah saiz-+=