Banjir kilat: Penduduk Rembau, terkandas di Lubok China

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER LIMAU 4 Okt. – Penduduk di kampung dalam Daerah Rembau yang bekerja di Lubok China, di sini tidak mampu pulang ke kediaman mereka akibat laluan Jalan Lubok China-Rembau dinaiki air tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Sungai Rembau melimpah akibat hujan lebat di hulu sungai dan menyebabkan laluan berkenaan dinaiki air setinggi kira-kira 0.91 meter.

Pekerja kedai barangan pembinaan, Mohd Zaihar Zainal, 31, berkata dia kempunan untuk menikmati ikan keli masak lemak cili padi isterinya berikutan kejadian itu.

“Saya tak sabar hendak balik makan lauk keli masak lemak cili padi yang disediakan isteri tetapi kempunan apabila mendapati laluan pulang ke rumah selepas Jambatan Sungai Rembau dinaiki air.

“Saya terpaksa sekadar menelan air liur apabila terbayangkan ikan keli masak lemak cili padi, selain terpaksa makan di warung tengah hari ini,” katanya ketika ditemui di laluan itu hari ini.

Mohd Zaihar berkata, dia memancing ikan keli di sungai berhampiran kediamannya di Kampung Sungai Timun, Rembau kelmarin dan meminta isterinya memasaknya dengan cili padi.

“Keli masak lemak cili padi amat saya gemari dan ketika tiba waktu makan tengah hari ini saya bergegas ingin pulang ke rumah untuk menikmatinya tetapi hajat saya tidak kesampaian kerana laluan dinaiki air,” katanya ketika ditemui di jambatan itu hari ini.

Pekerja kedai barangan pembinaan itu berkata, hujan lebat di hulu sungai dipercayai menyebabkan laluan itu dinaiki air seperti yang lazim berlaku sebelum ini.

Katanya, walaupun kampung itu atau pekan Lubok China tidak menerima hujan lebat, hujan lebat di sebelah hulu dalam Daerah Rembau menyebabkan Sungai Rembau melimpah.

Roslina Dawam, 32, berkata beliau juga tidak mampu meredah air untuk membawa anaknya pulang selepas tamat sesi persekolahan prasekolah kira-kira jam 12 tengah hari ini.

“Hujan lebat mulai jam 12.30 malam tadi dan reda lebih kurang jam 1.30 pagi tetapi ketika menghantar anak saya ke sekolah jam 7 pagi tadi, air masih belum naik.

“Air mulai naik pada jam 12 tengah hari ini kerana hujan lebat di sebelah hulu sungai dan saya terpaksa menunggu air surut untuk pulang ke rumah di Kampung Nerambai dalam Rembau,” katanya.

Beliau berkata, keadaan seumpama itu lazimnya berlaku pada musim hujan antara November hingga Disember setiap tahun.

Views:

1649
Kongsi :
Previous post PM harap semua sokong Belanjawan 2021
Next post Banjir kilat: Hasrat ambil anak terbantut
Ubah saiz-+=