Banjir kilat: Hasrat ambil anak terbantut

AYER LIMAU 4 Okt. – Hasrat seorang bapa ingin mengambil dua anaknya di kediaman ibunya di Kampung Titian Bintangor, Lubok China hari ini tergendala akibat banjir.

Anggota polis bantuan, Mohd Fadzir Mohd Isa, 37, mahu mengambil dua anaknya untuk dibawa pulang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimulakan dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan tengah malam ini tetapi terbantut akibat banjir.

Mohd Fadzir menghadapi masalah untuk melalui lorong kecil di laluan masuk ke Kampung Titian Bintangor, Lubok China dekat sini hari ini berikutan ia dinaiki air setinggi satu meter.

Ia menyebabkan kereta Proton Saga dipandunya gagal melepasi laluan berkenaan ketika dia cuba melaluinya pada jam 11 pagi ini.

“Saya tinggalkan dua anak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun di kediaman ibu saya di kampung itu dua minggu lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dimulakan di mukim Nilai di tempat tinggal saya di Kampung Godong Jaya, Sendayan.

“Sebelum PKPB dimulakan di Daerah Seremban malam ini, saya perlu membawa anak saya pulang tetapi saya terkejut apabila tiba di laluan masuk ke kampung, air sudah naik,” katanya ketika ditemui di laluan itu hari ini.

Beliau berkata, laluan itu tidak mampu diredah dengan kenderaannya kerana mengetahui laluan yang akan dilalui itu dalam dan merbahaya buat kenderaan kecil berdasarkan pengalamannya ketika membesar di kampung itu.

Sehubungan itu, beliau terpaksa menunggu hingga air surut sebelum meredahnya semata-mata untuk memastikan kedua-dua anaknya mampu dibawa pulang ke Sendayan.

Penduduk kampung itu, Mokhtar Abu Bakar, 46, berkata air naik mulai jam 10 pagi tadi berikutan hujan lebat di hulu sungai dalam Daerah Rembau, Negeri Sembilan.

“Hujan lebat di kampung ini bermula jam 12 tengah malam tadi dan reda setengah jam kemudian tetapi kawan saya di Rembau yang menghubungi saya memberitahu hujan lebat di kawasan itu pada jam 8 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, laluan berkenaan sering dinaiki air pada musim hujan lebat antara November hingga Disember setiap tahun.

PKPB akan dilaksanakan di Daerah Seremban mulai jam 12.01 tengah malam ini hingga 18 November ini berikutan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) akibat peningkatan kes COVID-19 di daerah itu.

Ia membabitkan mukim Ampangan, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

Dijangka seramai 625,200 penduduk mukim berkenaan terbabit dalam PKPB itu dan pola peningkatan kes COVID-19, khususnya di Seremban menjadi justifikasi utama kerajaan negeri melaksanakan perintah terbabit.

Views:

293
Previous post Banjir kilat: Penduduk Rembau, terkandas di Lubok China
Next post Kerajaan ambil pendekatan berbelanja secara berhemat – PM