Banjir: Kos baik pulih rumah tinggi rungsingkan mangsa

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 29 Dis – “Saya tidak mampu membuat pembaikan rumah kerana kosnya tinggi berbanding jika membina sebuah rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin),” kata mangsa banjir, Yusof Hasan, 72.

Katanya, dia tidak mampu menyediakan peruntukan bagi membaik pulih kediamannya yang rosak teruk akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Dia berkata, seorang kontraktor sudah membuat penilaian awal kerosakan rumahnya dan mendapati kos pembaikan lebih tinggi berbanding membina rumah PPRT.

“Saya tidak tahu macam mana mendapatkan wang untuk tujuan itu kerana sekadar bekerja mengait kelapa dan menjualnya untuk menyara kehidupan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Berembang, Lubok China dekat sini hari ini.

Dalam kejadian banjir jam 5 pagi, 18 Dis lalu, Yusof yang tinggal bersendirian di kediaman itu dan keluarga anaknya, Mohd Reni, 43, yang menghuni kediaman berhampiran rumahnya sempat menyelamatkan diri.

Banjir menyebabkan dinding bahagian dapur kediaman Yusof runtuh manakala beberapa tiang rumah rosak terendam dalam air setinggi kira-kira dua meter.

Selain itu, keseluruhan tandas kediaman itu musnah dibawa arus deras.

Yusof berkata, jika kerajaan negeri bersedia membantu membina rumah berkenaan, ia tidak akan menghadapi masalah besar kerana tanah itu adalah miliknya sendiri.

YUSOF (kiri) dan Mohd Reni menunjukkan struktur tandas yang musnah dibawa arus deras akibat banjir.

Katanya, banjir kali ini lebih besar berbanding yang berlaku pada pertengahan Oktober lalu yang turut menyebabkan kerosakan perabot dan struktur rumah diperbuat daripada papan.

Sementara itu, Mohd Reni berkata, kediamannya yang hanya 10 meter dari kediaman bapanya turut mengalami kerosakan akibat banjir.

Bagaimanapun, rumah yang diperbuat daripada batu itu masih mampu bertahan berbanding kediaman bapanya yang sudah uzur.

“Kami amat berharap kerajaan membantu membina rumah PPRT untuk ayah kerana saya sendiri tidak mampu membantu menyediakan kos untuk menjalankan kerja pembaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1007
Kongsi :
Previous post Banjir: Jumlah mangsa di empat negeri kekal, Melaka catat penurunan
Next post Banjir: Kutip 13 tan sisa sampah sehari
Ubah saiz-+=